Saya sedia disiasat, kata bekas KPN atas kehilangan 2 aktivis

Saya sedia disiasat, kata bekas KPN atas kehilangan 2 aktivis

Khalid Abu Bakar turut mengalu-alukan kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang menolak penemuan Suhakam sebagai 'khabar angin'.

Khalid Abu Bakar merupakan ketua polis negara ketika Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh hilang pada November 2016 hingga Februari 2017.
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar berkata, beliau sedia disiasat berhubung penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menyalahkan Cawangan Khas Bukit Aman dalam kehilangan paksa 2 aktivis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

Beliau turut mengalu-alukan kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang menolak penemuan Suhakam sebagai “khabar angin”.

“Saya bersedia untuk sebarang penyiasatan dan saya pasti begitu juga dengan Tan Sri Fuzi,” tulisnya di Twitter hari ini, merujuk penggantinya, Mohamad Fuzi Harun.

Semalam, Suhakam selepas inkuiri selama setahun dengan kira-kira 40 saksi memberi keterangan mengenai kehilangan Amri dan Koh, menyimpulkan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pihak bertanggungjawab ke atas kehilangan paksa 2 aktivis itu.

Susulan itu, beberapa pihak menggesa Fuzi yang mengetuai Cawangan Khas ketika penculikan Amri dan Koh berlaku, disiasat.

Amri ialah pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016. Ada yang mengatakan Amri menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Isterinya, Norhayati Mohd Ariffin dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Kangar.

Koh pula diculik lebih 10 lelaki dari keretanya di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, dengan rakaman kamera litar tertutup sebuah rumah berhampiran menunjukkan sekurang-kurangnya 3 kenderaan hitam terbabit dalam penculikan itu.

Ramai mengatakan penculikan Koh mungkin ada kaitan dengan dakwaan beliau cuba menyebarkan agama Kristian, tetapi ia disangkal keluarganya.

Khalid berulang kali menolak teori konspirasi dan dakwaan polis terbabit dalam penculikan Koh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.