Saya sokong Dr M bukan mahu talian hayat, kata Hishammuddin

Hishammuddin berkata BN akan berada di belakang Mahathir sehingga penggal berakhir jika berlaku cubaan menggulingkan perdana menteri.

SEREMBAN: Hishammuddin Hussein menepis tuduhan mengatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad jika wujud gerakan menjatuhkan perdana menteri itu hanyalah helah talian hayat politik.

Ahli Parlimen Semberong berkata semua ahli Parlimen Barisan Nasional akan berada di belakang Mahathir sehingga penggal berakhir jika berlaku cubaan menggulingkan perdana menteri.

“Kalau kata saya nak gunakan sebagai talian hayat politik, itu tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas “walkabout” di Kuala Sawah sempena PRK DUN Rantau.

“Isu ini ditanya oleh media dan dibawa oleh pemimpin mereka (PH). Takkan nak salahkan saya, tak acilah.”

Bekas menteri pertahanan itu menyangkal tuduhan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin di Parlimen hari ini.

Hishammuddin beramah mesra dengan pasangan peniaga semasa walkabout di Kuala Sawah.

Ditanya mengenai dakwaan ada kumpulan yang mahu Ahmad Zahid Hamidi mengambil kembali tugas-tugas presiden Umno yang sekarang digalas Mohamad Hasan sejak beberapa bulan lalu, Hishammuddin berkata dakwaan itu tidak perlu diulas kerana boleh mengeruhkan keadaan disaat Umno dalam proses pemulihan.

“Cukup-cukuplah rakyat sudah muak, kita sibuk berpolitik sesama kita dalam parti dan luar parti, yang jadi mangsa adalah rakyat,” katanya.

Hishammuddin berkata platform terbaik membincangkan ketidakpuasan hati dalam parti adalah menerusi mesyuarat majlis tertinggi.

“Tugas kita adalah menangkan Mohamad Hasan di Rantau. Jadi isu lain yang boleh pecah dan lemahkan kita kena ketepikan.

“Mohamad pemimpin yang menjalankan tugas presiden. Ini maruah Umno. Kalau betul anda orang Umno, rapatkan barisan,” katanya.

Hadir sama menyertai walkabout ialah wakil MCA, MIC dan PAS.