Tok Mat bayang bertanding kerusi Parlimen dalam PRU ke-15

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan beramah mesra dengan penduduk Kampung Sendayan di sini, malam tadi.

SEREMBAN: Mohamad Hasan memberi bayangan beliau akan bertanding di sebuah kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Timbalan presiden Umno itu berkata demikian ketika berceramah di Kampung Sendayan di sini, malam tadi, sekali gus meminta pengundi terus memberi mandat kepada beliau untuk kekal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Berilah kepercayaan kepada saya. Saya pasti akan menjalankan tugas yang tuan-tuan berikan.

“… tapi rasa-rasanya dalam pilihan raya umum ke-15, saya tidak lagi bertanding di Rantau. Rasa-rasanya saya akan bertanding di Parlimen pula. Rantau pun bertanding, Parlimen pun tanding. Tak akanlah dapat buah hati baru, orang tua kita tinggal,” katanya disambut sorakan orang ramai yang hadir.

Mohamad, yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan, mewakili DUN Rantau sejak 2004.

SUBHEAD: Tidak siapa boleh halang kerjasama Umno-PAS

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, Umno mempunyai hak untuk bekerjasama dengan PAS.

Katanya, tuduhan kononnya kerjasama Umno dan PAS bakal menyebabkan negara ditadbir “ala Taliban” adalah dakwaan yang tidak berasas.

“Saya nak berpeluk, cium pipi, nak berpeluk pun, itu saya punya pasallah, kenapa kau sakit hati?

“Lepas itu buat khabar pulak kononnya kerjasama PAS dan Umno akan menjadikan negara ini negara Taliban. Sudah 62 tahun Umno mentadbir negara.

“Ada seketika kita bersama dengan PAS pada tahun 1974 selepas peristiwa 1969. Tidak pernah pula kita wujudkan negara Taliban. Bahkan negara kita antara negara yang paling berkesan sekali mengawal ekstremis agama sehingga Amerika Syarikat memuji kita,” katanya.

Katanya, pemimpin PH sepatutnya memberi fokus kepada isu berkaitan pentadbiran negara, bukannya iri hati dengan kerjasama Umno dan PAS.

Mohamad tidak menolak kemungkinaa BN dan PAS akan berbincang bagaimana untuk mengagihkan kerusi supaya tidak berlaku lagi pertembungan 3 penjuru pada pilihan raya akan datang.

PRK Rantau diadakan berikutan langkah Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Pilihanraya membatalkan kemenangan Mohamad tanpa bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

PRK yang dijadualkan 13 April depan itu menyaksikan Mohamad ditentang oleh calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.