Usul ganti pengerusi PAC dibentang minggu depan, kata timbalan speaker

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan usul menggantikan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Dewan Rakyat minggu depan, kata Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Difahamkan, usul itu tidak sempat dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini kerana ia berada dalam senarai ke-9 Aturan Urusan Mesyuarat.

Nga ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, usul itu ialah bukti kerajaan Pakatan Harapan menunaikan manifesto pilihan raya umum ke-14 untuk melantik wakil rakyat pembangkang sebagai pengerusi PAC.

Media pagi tadi melaporkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dijangka membentangkan usul itu bagi menggantikan Pengerusi PAC, Ronald Kiandee dengan ahli Parlimen Umno, Noraini Ahmad.

Noraini ialah ahli Parlimen Parit Sulong selama 3 penggal dan ketua Wanita Umno. Beliau dilantik sebagai ahli PAC pada Ogos 2018 bagi menggantikan bekas ketua PAC, Hasan Arifin.

Beberapa pihak menentang keputusan Mahathir mengekalkan Kiandee mengetuai PAC, selepas ahli Parlimen Beluran itu meninggalkan Umno Sabah untuk menyertai PPBM pada 15 Mac lalu.

Sementara itu, Nga membidas wakil rakyat pembangkang tidak menghormati PAC kerana tidak menyerahkan surat rasmi peletakan jawatan sebagai ahli jawatankuasa itu.

Beliau berkata, ahli Parlimen pembangkang hanya memaklumkan peletakan jawatan itu melalui sidang media.

“Ini satu perkara yang tidak boleh diterima.”

Pada 25 Mac lalu, semua ahli Parlimen pembangkang meletak jawatan serta-merta untuk membantah keputusan mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi PAC.

Selain Noraini, 2 lagi ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hasan dan Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah.

Sidang Dewan Rakyat kali ini selama 20 hari akan berakhir 11 April ini.