2 polis Thai ditembak mati ketika solat Jumaat

Polis berkata, 4 lelaki yang menutup muka dan bersenjata, melepaskan 4 das tembakan tepat ke atas kepala mangsa, ketika semua jemaah bersujud. (Gambar AFP)

YALA: Dua pegawai polis ditembak mati ketika menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di daerah Than To, Yala, selatan Thailand, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Than To, Palakorn Sichai berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 1 tengah hari (waktu tempatan) ketika kedua-dua pegawai polis berumur 51 dan 53 tahun itu bersama kira-kira 100 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Ibadah, Kampung Mayo.

Beliau berkata, 4 lelaki yang menutup muka dan bersenjata, memasuki masjid itu ketika semua jemaah bersujud dan melepaskan 4 das tembakan tepat ke atas kepala mangsa, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan insiden itu didalangi kumpulan pemisah Pattani yang bergerak aktif di kawasan itu.