Ahli Parlimen PAS gesa anggota Kabinet bertenang berhubung isu Lynas

Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim berkata, anggota kaukus Parlimen akan melawat kilang Lynas di Kuantan bagi mendengar taklimat pihak berkenaan.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PAS menggesa anggota Kabinet tidak terus bercakaran berhubung isu Lynas, sebaliknya bekerjasama dalam mencari penyelesaian berdasarkan fakta dan data saintifik.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, yang merupakan anggota kaukus Parlimen mengenai Lynas berkata, wujud keperluan untuk melihat isu itu secara objektif, dengan menambah bahawa beliau tidak menyokong maupun menentang operasi kilang berkenaan di Gebeng, Kuantan.

“Langkah kerajaan menubuhkan kaukus ini sangat baik kerana ia menyediakan platform kepada semua pihak untuk membincangkan isu penting ini. Bagaimanapun dalam usaha itu kita tidak mahu sentimen politik mengatasi fakta sainstifik,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Kementerian Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas bagi memudah cara penghantaran balik sisa Lynas ke Australia.

Bagaimanapun Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof berkata, Putrajaya belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Katanya, kenyataan Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, bahawa Lynas perlu menghantar keluar sisanya sebagai pra-syarat pembaharuian lesennya adalah pendapat peribadi beliau.

Awang berkata, operasi pemprosesan nadir bumi Lynas berkait dengan banyak perkara termasuk politik, pelaburan, kesihatan dan alam sekitar.

Beliau berkata, Lynas akan memetik bukti empirikal bagi mempertahankan keselamatan operasinya dalam bentuk laporan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa seperti Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Tenaga Atom Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Jika wujud keraguan berhubung laporan ini, kerajaan boleh mengarahkan satu kajian baru dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa, termasuk universiti, bagi membolehkan pakar mengemukakan dapatan mereka kepada Kabinet,” katanya.

Kata beliau, anggota kaukus Parlimen akan melawat kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Kuantan bagi mendengar taklimat pihak berkenaan.

Setelah itu katanya, mereka akan menggesa Kabinet mengarahkan satu kajian empirikal dibuat.

“Keputusan hendaklah dibuat berdasarkan fkta, sama ada kesannya positif atau negatif. Ia perlu dikaji terlebih dahulu.

“Jadi elok kita bertenang. Berhenti bergaduh dan elakkan keputusan terburu-buru. Bentangkan fakta kepada Kabinet supaya ia boleh membuat keputusan.”

Baru-baru ini Lynas mengkritik anggota kaukus berkenaan kerana gagal hadir taklimat mengenai operasi kilangnya walaupun setelah dijemput menghadirinya.

Dalam satu kenyataan, ia berkata, kesemua, kecuali seorang anggota kaukus, tersebut sama ada menolak atau tidak memberi jawapan tkepada jemputan yang disampaikan secara langsung.

Lynas sebelum ini berkata, ia menjemput Yeo ke kilangnya sebanyak 8 kali tanpa mendapat apa-apa respons daripada beliau.