Boeing ‘teliti’ laporan awal nahas Ethiopian Airlines

Boeing berkata ia mengambil pendekatan komprehensif serta berdisiplin dan mengambil masa untuk mengemas kini perisian dengan betul. (Gambar Reuters)

SAN FRANCISCO: Boeing pada Khamis berkata, ia akan “meneliti” laporan pihak berkuasa penerbangan Ethiopia berhubung nahas Ethiopian Airlines membabitkan pesawat jenis 737 Max 8 yang meragut 157 nyawa bulan lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu.

Boeing berkata, pemahaman mengenai persekitaran yang menyelubungi nahas udara itu adalah penting bagi memastikan penerbangan selamat.

“Kami akan meneliti laporan awal AIB (Biro Penyiasatan Nahas Ethiopia) dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan keselamatan pesawat kami,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) pesawat komersial Boeing Kevin McAllister dalam satu kenyataan sebagai respons kepada laporan siasatan awal nahas penerbangan ET 302 oleh AIB.

Kenyataan Boeing itu dibuat selepas siasatan awal nahas Ethiopian Airlines mendedahkan bahawa meskipun juruterbang mengikuti prosedur yang dikehendaki Boeing, namun mereka gagal mengawal pesawat, yang menunjukkan terdapat potensi masalah dalam sistem kawalan penerbangan.

CEO Boeing, Dennis Muilenburg pada Khamis pula berkata, pihaknya akan mengambil langkah perlu bagi menghapuskan semua risiko yang mungkin menjejaskan keselamatan penerbangan, termasuk pengaktifan salah fungsi Sistem Penambahan Ciri-Ciri Manuver (MCAS) dalam sistem kawalan penerbangan.

“Ia adalah tanggungjawab kami untuk menghapuskan risiko ini. Kami memilikinya dan kami tahu bagaimana untuk melakukannya,” kata Muilenburg.

“Kami sedang mengambil satu pendekatan yang komprehensif serta berdisiplin dan mengambil masa untuk mengemas kini perisian dengan betul.

“Kami hampir siap dan menjangkakan pensijilan dan pelaksanaannya ke atas flit 737 Max di seluruh dunia pada minggu-minggu akan datang,” katanya.