Dr M: Terpaksa tarik diri dari Statut Rom kerana ‘seseorang mahu bebas pukul orang lain’

Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menarik balik perakuan Statut Rom, mengatakan penentang perjanjian itu cuba melaga-lagakan raja-raja Melayu dengan kerajaan.

Perdana menteri berkata Malaysia akan menarik diri disebabkan kekeliruan “seseorang yang mahukan kebebasan untuk memukul orang lain”.

“Kalau dia buat begitu kita akan hantar polis tangkap dia. Saya tak kisah siapa dia yang cuba burukkan nama baik kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan penarikan balik perakuan itu.

Statut Rom merupakan perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), pelengkap kepada undang-undang sedia ada untuk mendakwa individu yang melakukan pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Perdana menteri berkata keputusan menarik diri daripada perjanjian kontroversi itu bukan kerana ia memudaratkan negara tetapi disebabkan politik.

“Orang terlalu mudah ditipu, terlalu mudah jadi mainan emosi dan melakukan perkara yang bertentangan dengan kepentingan kerajaan,” katanya.

Beliau menjelaskan tindakan menerusi Statut Rom hanya boleh diambil dalam kes-kes seperti “mengambil semua harta orang Cina dan membunuh orang Cina”.

“Tapi disebabkan khabar angin apa akan terjadi kalau kita tak tarik balik Statut Rom, kita tak boleh ada undang-undang sebegini,” katanya.

Mahathir berkata kerajaan tahu penentangan terhadap Malaysia menandatangani perjanjian itu bermotif politik.

“Ideanya untuk mendapatkan raja-raja melawan kerajaan. Disebabkan itu, kita buat keputusan untuk tak iktiraf.”

Beliau berkata kerajaan boleh menarik balik surat cara penerimaan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang ditandatangani dan diserahkan kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 4 Mac lalu sebelum Jun.

Sebanyak 124 negara menyertai Statut Rom termasuk negara beraja seperti Jepun, United Kingdom dan Jordan.

Pada 23 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, Putrajaya melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menandatangani Statut Rom yang akan menjejaskan hak orang Melayu, institusi diraja dan kesucian Islam di negara ini.

Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah berkata jemaah menteri menandatangani perjanjian itu selepas berpuas hati kedudukan dan kekebalan Agong, yang juga pemerintah tertinggi angkatan tentera, tidak tergugat.