Esscom tembak mati 10 penjenayah rentas sempadan sejak 2017

Esscom berusaha keras memperkasa kawalan keselamatan di perairan Sabah termasuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan di Filipina.

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berjaya menembak mati 10 penjenayah rentas sempadan disyaki terlibat dalam penculikan untuk wang tebusan di sekitar perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dalam tempoh 2 tahun sejak 2017.

Komander Esscom, Hazani Ghazali berkata semua suspek ditembak, masing-masing seorang di Kunak, 3 di Kalabakan, 4 di perairan Felda Sahabat, Lahad Datu serta 2 di kawasan Pulau Boheyan, Semporna.

Tanpa menafikan berlaku 2 kes penculikan dalam tempoh sama, Hazani berkata Esscom juga berjaya menggagalkan 6 percubaan rompakan serta penculikan dengan 3 kes di Kinabatangan dan masing-masing 1 kes di Semporna, Lahad Datu selain Sandakan.

Katanya, sebagai badan yang diberi tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan di Esszone, pasukan Esscom berusaha keras memperkasa kawalan keselamatan termasuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan di Filipina.

“Hasil kerjasama ini, satu senarai membabitkan 46 individu dipercayai penjenayah yang aktif terlibat jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan penculikan, dikehendaki pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina disediakan.

Namun setakat 5 Januari tahun ini, daripada 48 itu 28 individu dineutralkan oleh pasukan keselamatan Filipina dan senarai terkini individu dikehendaki adalah 18 orang termasuk 7 muka baru,” katanya.

Tidak hanya tertumpu kepada penjenayah rentas sempadan, Hazani berkata Esscom juga bekerjasama dengan pasukan cawangan khas dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Bukit Aman untuk menjejaki dan mengesan elemen pengganas IS di Esszone.

“Hasil kerjasama tersebut 4 individu dipercayai pejuang pengganas asing yang bersembunyi di Esszone kita tahan,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha memperkasa kawalan keselamatan di laut, udara dan darat, Hazani berkata pelbagai operasi dilaksana termasuk Op Gasak, Op Gasak Laut, Op Bersepadu, serta Pusat Pemeriksaan Daratan atau “Road Check Point” (RCP) di kawasan Esszone.

Susulan pelaksanaan operasi itu, katanya misalnya pewujudan sekatan RCP di Kalabakan, Tawau serta Sapi Nangoh Sandakan menunjukkan keberkesanan dalam mengekang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta bahan terlarang termasuk dadah dan minuman keras.

“Misalnya RCP Sapi Nangoh berjaya menahan 200 PATI pada hari ke-2 pelaksanaannya sejak dilancar pada 6 Mac lepas, dan begitu juga di RCP Kalabakan banyak kejayaan menumpaskan kegiatan jenayah,” katanya.

Hazani yang menafikan Esscom akan ditutup berkata berkata badan itu dalam proses pemantapan dan pemerkasaan operasi melibatkan 3 agensi di bawahnya iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Katanya, usaha memperkasakan Esscom itu termasuk memperhalusi tugas di bawah bidang masing-masing selain melicinkan tugas pengoperasian, perintah dan aset.

Hazani dalam pada itu, bersyukur kerana menerima kerjasama dan sokongan penuh daripada Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal yang prihatin terhadap isu keselamatan di Esszone dan seluruh Sabah.