Jajaran ECRL akan berubah kalau boleh diteruskan, kata Guan Eng

SEREMBAN: Menteri kewangan berkata jajaran Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan diubah sekiranya ia diteruskan dan harga diturunkan lebih RM10 bilion lagi.

Lim Guan Eng berkata perkara itu bergantung kepada rundingan yang sedang dibuat oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin.

“Kalau projek ini jalan, jajaran akan berubah, saya nak cakap sini, ini bagus untuk negeri ini,” katanya mengenai projek yang digantung sejak Julai tahun lalu dalam ceramahnya di Taman Jep Indah kepada kira-kira 200 orang sempena PRK Rantau.

Hadir sama, Menteri Pengankutan, Loke Siew Fook, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chai.

Kos projek yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung itu, yang bermula pada Ogos 2017, sebelum ini dianggarkan RM55 bilion.

Ia sepatutnya siap pada 2024. Kira-kira 15% daripada projek itu siap ketika ia digantung selepas pilihan raya umum lalu.