Kehilangan paksa salah satu jenayah bawah Statut Rom

Malaysia menarik diri daripada Statut Rom bermakna dalang penculikan 2 aktivis tidak boleh lagi dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Statut Rom mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah kehilangan paksa, kes yang ditonjolkan dalam dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) susulan inkuiri ke atas kehilangan 2 aktivis.

Statut Rom adalah perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Putrajaya hari ini mengumumkan Malaysia akan menarik balik perakuan Statut Rom.

Ia melengkapi undang-undang sedia ada untuk mendakwa individu yang melakukan pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Statut itu antara lain mencadangkan “kehilangan paksa” boleh termasuk bawah kategori jenayah terhadap kemanusiaan sekiranya mangsa tidak dapat dikesan.

Perkara 8 Statut Rom menyenaraikan “kehilangan paksa” antara 11 jenayah bawah jenayah terhadap kemanusiaan.

Ia mentakrifkan kehilangan paksa sebagai “penangkapan, penahanan atau penculikan seseorang dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan, kerajaan atau pertubuhan politik, diikuti dengan keengganan untuk mengakui perampasan kebebasan atau memberi maklumat mengenai nasib atau keberadaan orang tersebut, dengan niat untuk mengeluarkan mereka daripada perlindungan undang-undang untuk tempoh masa yang lama.”

Malaysia menarik diri daripada Statut Rom, yang ditandatangani pada 4 Mac lepas, mungkin bermakna pelaku “kehilangan paksa” tidak boleh didakwa di ICC.

Perkembangan ini 2 hari selepas Suhakam mengisytiharkan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh mangsa “kehilangan paksa”, dan mempertanggungjawabkan Cawangan Khas atas penculikan mereka berdasarkan testimoni kira-kira 40 orang saksi dalam inkuiri selama setahun.

Ia merupakan dapatan yang paling teruk melibatkan polis, dan kerajaan terus didesak supaya bertindak terhadap pegawai-pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, yang mengetuai Cawangan Khas ketika kejadian.

Amri hilang pada 24 November 2016 selepas keluar rumah, manakala Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari 2017.

Penculikan Koh dirakam CCTV yang memaparkan sekumpulan orang terlatih menahan kenderaannya. Polis nafi anggotanya melakukan penculikan itu.