Kerjaya politik saya tidak mati jika tewas di Rantau, kata Mohamad Hasan

Mohamad Hasan berkata, beliau akan terus menggalas tanggungjawab sebagai pemangku presiden Umno seperti yang diamanahkan.

SEREMBAN: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, masa depan politiknya tidak akan terkubur sekiranya keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Rantau tidak memihak kepada beliau.

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional dalam PRK Rantau memberi contoh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang pernah tewas kepada calon pembangkang ketika bertanding di satu kerusi Parlimen dahulu, tetapi tidak mematikan masa depan politik pengerusi Pakatan Harapan itu.

Sebaliknya kata beliau, Mahathir diangkat menjadi perdana menteri sebanyak 2 kali selepas itu.

“Andai kata saya tidak berjaya dalam PRK kali ini, ia tidak mempunyai impak sampai boleh bunuh kerjaya politik saya dalam Umno.

“Ada pemimpin dalam PH, 60 tahun jadi pembangkang, tidak pernah menang pilihan raya, tetapi ia tidak membunuh kerjaya politik mereka.

“Tun Mahathir pernah kalah di Parlimen, tapi 2 kali jadi perdana menteri. Jadi tidak bermakna menang atau kalah PRK akan membunuh kerjaya politik seseorang,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Untuk rekod, Mahathir pernah tewas kepada calon PAS, Yusoff Rawa bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan pada 1969 dengan majoriti 989 undi.

Tambahnya, berdasarkan “mood” pengundi kepada BN di PRK Rantau, beliau opitimis kemenangan akan memihak kepadanya.

“Saya bukan calon luar, saya orang sini, sekolah disini, lahir disini, Rantau kampung saya,” katanya.

Mohamad berkata, beliau bertanggungjawab memegang amanah yang diberikan kepadanya sebagai pemangku presiden Umno dalam misi memulihkan kembali parti itu selepas ditolak rakyat dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Dalam pada itu beliau turut mengakui, keputusan PRK Rantau tidak akan memberi kesan besar kepada pentadbiran kerajaan di peringkat negeri mahupun pusat.

“Menang atau kalah tidak ada impak besar kepada pentadbiran kerajaan, baik di peringkat persekutuan atau negeri. Nak kata (PRK Rantau) paling penting dalam hidup saya kurang tepat,” katanya.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi tidak hadir.

Seramai 11,283 pengundi atau 55.11% daripadanya berbangsa Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina dan 5,336 atau 26.06% India.

PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April ini menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad, calon PH, Dr S Streram dan 2 calon bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin.

Sementara itu, Mohamad opitimis kemenangan akan memihak kepadanya berdasarkan “mood” pengundi kepada BN di PRK Rantau.

“Saya bukan calon luar, saya orang sini, sekolah di sini, lahir di sini, Rantau kampung saya,” katanya yang pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 14 tahun.