KKM siasat penjualan terbuka curut mini di Sabah, Sarawak

Curut haram dijual secara terbuka di kedai runcit di Kota Kinabalu.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat penjualan curut mini di Malaysia Timur yang menggunakan jenama syarikat tembakau terkenal, yang dipercayai diseludup kerana ia tidak mempunyai setem cukai Jabatan Kastam.

Diiklankan sebagai 100% tembakau, curut itu dijual secara terbuka di kedai runcit dengan harga RM4.50 dan RM9 bagi setiap kotak mengandungi 10 dan 20 batang.

FMT dimaklumkan mengenai penjualan curut itu oleh seorang pembaca dari Kota Kinabalu yang mendakwa harga curut itu mungkin menarik pembeli tetapi rasanya “tidak sesedap” curut biasa.

Sekotak curut biasa berisi 20 batang dengan harga RM17.50.

Bukan sahaja tidak mempunyai setem cukai Jabatan Kastam, curut itu juga tidak mempunyai gambar dan tulisan amaran tentang bahaya merokok.

“Di bawah undang-undang, semua pengeluaran rokok yang dijual secara sah perlu mengikut peraturan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye memberitahu FMT.

Beliau berjanji akan menyemak dengan Jabatan Kastam berhubung perkara tersebut.

Badan pemikir, Pusat Galen mengenai Dasar Kesihatan dan Sosial berkata sekiranya curut itu haram, maka peruncit dan pengedar benar-benar menentang usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan penjualan tembakau haram.

“Ia merupakan contoh yang ketara yang diserlahkan baru-baru ini di mana 6 daripada 10 batang rokok yang dijual di negara ini adalah haram,” Ketua Pegawai Eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib kepada FMT.

Katanya, berdasarkan harga yang murah berbanding curut biasa dan ketiadaan amaran secara grafik di kotak, mereka yang terlibat dengan penjualan curut ini mengambil kesempatan daripada kelemahan tindakan kawalan dan penguatkuasaan.

Curut itu menggunakan jenama syarikat tembakau terkenal.

Beliau merujuk kajian pada 2017 yang disiarkan jurnal Nicotine and Tobacco Research yang membandingkan kesan nikotin dalam curut yang “kecil” atau “ditapis” dengan yang ada dalam rokok biasa.

Kajian itu mendapati curut boleh memberi mudarat dan menimbulkan ketagihan dan mempunyai nikotin sama banyak dengan rokok, kalau pun tidak lebih daripada itu.

“Penjualan terbuka curut ini bertentangan dengan kempen anti-merokok yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Azrul berkata, perkembangan terbaru ini memberi peluang kepada kerajaan untuk mengkaji semula semua undang-undang kawalan tembakau sedia ada supaya dapat menutup sebarang kelemahan dalam undang-undang.

Galen, bersama-sama kumpulan kesihatan lain, baru-baru ini menyeru produk pembakar haba turut diperlakukan seperti rokok, dengan mengatakan ia juga berada di bawah takrif rokok.

Usaha FMT untuk menghubungi syarikat tembakau terbabit tidak berjaya.