Kumpulan Syiah salahkan Syiahfobia atas kehilangan paksa Amri

Suhakam memutuskan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh sebagai mangsa kehilangan paksa.

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan Syiah tempatan menyalahkan pihak berkuasa agama menjadi sebahagian kempen sistematik untuk mencerca komuniti minoriti Islam itu, dengan menggalakkan tindakan jenayah terhadap mereka, termasuk kehilangan paksa yang didedahkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia baru-baru ini.

Komuniti Shia Malaysia ialah kumpulan sokongan yang mewakili pengikut Syiah – ajaran yang tidak disukai pihak berkuasa Islam tempatan – berkata, ada peningkatan dalam Syiahfobia melalui media perdana dan mimbar Jumaat.

Katanya, penemuan terbaru Suhakam hanya mengesahkan kebimbangan komuniti itu terhadap keselamatan peribadi mereka.

“Komuniti kami, termasuk Amri Che Mat tidak diberi kesempatan untuk membela diri, walaupun ada peruntukan dalam Perlembagaan yang memberi kebebasan untuk berpegang kepada kepercayaan kami.

“Komuniti kami adalah rakyat Malaysia yang bergiat dengan kebebasan dibenarkan Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Katanya, terdapat juga kebimbangan untuk mencetuskan sentimen anti-Kristian di negara ini.

Rabu lalu, Suhakam mengumumkan Pastor Raymond Koh serta Amri ialah mangsa kehilangan paksa dan menyalahkan Cawangan Khas Bukit Aman atas penculikan mereka berdasarkan keterangan kira-kira 40 saksi sepanjang inkuiri selama setahun.

Amri ialah pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016. Beliau dipercayai ialah pengikut Syiah dan pihak berkuasa agama pernah mempersoalkan kepercayaannya.

Pada Januari 2018, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang hadir ketika satu serbuan di rumah Amri, mengkritik aktivis itu mengamalkan ajaran Syiah, mazhab ke-2 terbesar dalam dunia Islam yang dilabelkan “sesat” oleh pihak berkuasa agama Malaysia.

Tetapi, Asri menolak dakwaan beliau terbabit dalam kehilangan Amri yang saksi dakwa diculik pada 24 November 2016, kira-kira 500km dari rumahnya di Kangar.

Kumpulan sokongan Syiah berkata, terdapat cubaan untuk menggunakan institusi negara untuk mewajarkan tindakan “sangat jahat dan tidak berperikemanusiaan” ini.

“Institusi Raja-raja, polis dan agama Islam perlu dipertahankan dan kelompok kecil yang cuba menyasarkan minoriti seperti kami ini harus dikenal pasti, dibawa ke muka keadilan, dihukum dan disingkirkan.”

Ia mengalu-alukan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja sebagai tindakan susulan terhadap penemuan Suhakam, tetapi perlu ada usaha untuk menentang kenyataan berbaur kebencian.

“Pihak kami juga mengharapkan usaha positif dilakukan agar tiada lagi usaha Syiahfobia dan Kristianfobia, selagi ia tidak bercanggah Perlembagaan.”