Malaysia-Singapura bincang harga air, sempadan maritim minggu depan, kata PM

Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Lee Hsien Loong ketika menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Singapura di Yayasan Kepimpinan Perdana, pada Mei 2018. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, isu semakan semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962, sempadan maritim dan ruang udara antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Malaysia-Singapura minggu depan.

Perdana menteri berkata, sesi pemukiman pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 itu akan diadakan di Putrajaya pada 8 dan 9 April ini.

Ia sepatutnya diadakan November lalu, tetapi ditangguhkan.

“Antara isu yang tidak dapat diselesaikan ialah harga air, sempadan maritim dan ruang udara. Ini akan dibincangkan secara mesra.

“Kita tidaklah sampai nak bergaduh dengan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Beliau percaya Singapura memahami keperluan Malaysia untuk mengkaji semula harga air mentah.

Sementara itu, Mahathir berkata, kerajaan akan menguruskan wang rampasan dana 1MDB dari Singapura dengan sebaik mungkin.

“Tugas kami adalah untuk menerima wang itu dan untuk memastikan wang itu datang dari 1MDB. Kita tidak boleh menerima wang yang bukan milik kita.”

Pada 10 September 2018, sebuah mahkamah Singapura mengarahkan kira-kira S$15.3 juta dipulangkan kepada Malaysia.

Jumlah itu hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan wang yang dirampas republik itu dalam siasatan ke atas transaksi berkaitan dana 1MDB.