Nelayan didakwa bunuh wanita di tepi jalan

Ali Ahmad mempunyai 7 rekod jenayah lampau, semuanya berkaitan penyalahgunaan dadah.

GEORGE TOWN: Seorang nelayan hari ini didakwa membunuh Surinder Kaur Bedi Kirpal Singh di tepi jalan di Bayan Lepas, Sabtu lalu.

Ali Ahmad, 55, didakwa melakukan kesalahan itu antara 10 malam dan 11.45 malam di tepi Persiaran Bayan Indah, berhampiran Bayan Lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Ali tidak memberi sebarang maklum balas apabila pertuduhan dibacakan Majistret, Umma Devi Loganathan.

Timbalan pendakwa raya, Mohamad Syafiq Nasrullah memberitahu mahkamah, laporan bedah siasat Surinder sudah siap, tetapi masih menunggu laporan kimia dan DNA.

Umma menetapkan 9 Mei ini untuk mendengar keputusan laporan kimia dan DNA, serta bertanya kepada Ali yang kelihatan lemah, jika dia mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Tertuduh kemudiannya memberitahu dia menghidap penyakit kencing manis.

Terdahulu, Ali silap dihadapkan ke Mahkamah Sesyen yang menyaksikan dia dilepas tanpa dibebaskan. Dia kemudiannya didaftarkan semula oleh polis di Mahkamah Majistret.

Surinder meninggal dunia pada 11 April, dilaporkan akibat kecederaan parah di bahagian otak akibat hentakan objek tumpul.

Ali, yang dikenalpasti polis sebagai seorang nelayan, mengakui menyerang mangsa dalam keadaan mabuk ketika mereka bergaduh.

Tertuduh mempunyai 7 rekod jenayah lampau, semuanya berkaitan penyalahgunaan dadah.