Penduduk Rantau buka gerai depan rumah cari wang tambahan

Gerai minuman bergas dan buahan potong di depan kediaman di Taman Ekar, Rantau.

SEREMBAN: Sebahagian kecil penduduk Rantau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan mendirikan khemah di depan rumah bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tinjauan FMT mendapati, rata-rata peniaga memulakan perniagaan mereka sejak sebulan hingga 3 bulan lalu.

Ketika ditemui, seorang penduduk Taman Ekar yang enggan dinamakan berkata, dia memulakan perniagaan buah potong dan minuman bergas sejak sebulan lalu.

“Barang-barang saya jual pun tak mahal, budak-budak sahaja beli. Tapi bolehlah buat belanja,” kata suri rumah itu yang turut menjual beberapa jenis snek dan makanan ringan yang diletakkan di atas meja dengan harga sekitar 20 sen hingga RM1.

Snek dan makanan ringan yang diniagakan seorang suri rumah di depan rumahnya.

Selain berniaga di depan rumah, dia juga mengambil upah mengasuh kanak-kanak.

Seramai 3 orang kanak-kanak yang diasuhnya sejak 2 bulan lalu di mana seorang daripadanya adalah anak jiran, manakala 2 lagi dari taman perumahan berdekatan Taman Ekar.

“Petang mereka akan dijemput balik, lepas itu, saya bolehlah meniaga air dan snek kepada kanak-kanak yang bermain di sini pula,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian FMT, Taman Ekar yang terletak lebih kurang 1km daripada Pekan Rantau mempunyai penduduk yang majoritinya bekerja sendiri. Sementara yang lain adalah pekerja di estet berdekatan, namun memilih untuk menyewa di taman perumahan yang terletak di luar kawasan ladang.

Manakala sebahagian lagi merupakan penjawat awam seperti doktor, jururawat dan guru.

Gerai mee goreng milik Ng yang menumpang di tepi kediaman anaknya.

Seorang lagi peniaga berbangsa Cina memilih untuk menjual mee goreng di tepi kediaman anaknya.

“Saya boleh memasak, saya jual untuk bantu anak. Sekarang kerja pun, anda tak ada wang. Pergi kerja penat-penat tapi wang tiada,” katanya yang mahu dikenali sebagai Ng.

Jelas Ng, kedainya mula beroperasi sejak Februari lalu. Selain mee goreng, dia juga menjual beberapa masakan panas yang lain seperti kueh tiaw goreng dan bihun goreng.

Meskipun harga barangan sudah meningkat, Ng berkata, dia masih boleh untung untuk membantu anak dan menantunya menyara kehidupan.

Gerai burger yang dibuka sejak 3 bulan lalu.

“Sehari (dapat) 10 orang pun sudah okay lah. Ramai nanti penat,” katanya sambil menyediakan pesanan daripada 2 pelanggan yang sedang menanti.

Selain gerai minuman dan buahan serta mee goreng, terdapat beberapa lagi gerai makanan dibuka di depan rumah di taman perumahan yang berdekatan.

Bagaimanapun, FMT tidak dapat bercakap dengan pemilik sebuah gerai kerana perniagaannya belum dibuka. Menurut penduduk berhampiran, gerai itu menjual burger sejak 3 bulan lalu.