Perbicaraan kes 1MDB Najib bermula 14 Mei

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak yang menghadapi 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion akan bermula 14 Mei ini selama 14 hari.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Collin menetapkan 14 hari, iaitu 14, 15 dan 17 Mei; 28, 29 dan 31 Mei; 10 hingga 14 Jun; serta 18, 20 dan 21 Jun.

Tarikh itu ditetapkan selepas peguam, Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, 66, memberitahu tarikh perbicaraan kes berkenaan yang sebelum ini ditetapkan pada 15 April hingga 3 Mei, diambil alih perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi Najib.

Harvinder memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes SRC itu menetapkan tarikh perbicaraan kes itu bermula 3 April lalu dan bersambung 15 April sehingga 10 Mei ini.

“Ekoran keputusan Hakim Nazlan yang menetapkan semua tarikh perbicaraan 1MDB dan tambahan seminggu dari 6 hingga 10 Mei buat perbicaraan SRC International, ia memberi kami hanya 3 minggu pada Mei, yakni antara 13 dan 17 Mei serta minggu akhir Mei yang merupakan tarikh perbicaraan bagi kes Muhammad Shafee Abdullah.

“Saya secara peribadi memilih untuk memulakan kes Shafee terlebih dahulu, memandangkan kes itu lebih ringan dan didaftar lebih awal,” katanya.

Collin bagaimanapun menolak dan berkata, mahkamah mahu menjalankan perbicaraan kes 1MDB terlebih dahulu dan beliau kemudiannya menetapkan tarikh perbicaraan kes 1MDB pada tarikh perbicaraan untuk kes Shafee.

Kes pengubahan wang haram yang dihadapi Shafee sebelum ini ditetapkan pada 14, 15 dan 17 Mei, 28 dan 29 serta 31 Mei.

Mahkamah menetapkan 16 April ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes Shafee.

Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap perkara itu.

Najib didakwa atas 4 pertuduhan sebagai pegawai badan awam, iaitu perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan ke-2, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ke-3 dan ke-4, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Shafee pula didakwa atas 2 pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram, iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui 2 cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke 2 akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri yang bertentangan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 hingga 31 Disember 2014.