Pindaan perlembagaan adalah ‘perangkap’, kata ahli Parlimen Sarawak

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

KUCHING: Seorang ahli Parlimen Sarawak menggambarkan cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sebagai “perangkap”, mendakwa kerajaan menjadikannya agenda penting hanya untuk memenuhi janji manifesto pilihan raya.

Bercakap kepada FMT, Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata beliau tidak dapat melihat bagaimana pindaan itu akan memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak.

Beliau juga mempersoalkan ketiadaan sesetengah ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dari Sarawak ketika rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

“Kami mahu ia ditunda, dan kami mahu jawatankuasa terpilih dibentuk supaya kami dapat membincangkan perkara itu dengan teliti,” katanya sambil menambah satu gerakan akan dibentangkan untuk membentuk jawatankuasa tersebut mengikut nasihat speaker.

Beliau juga menggesa pindaan itu dibuat bersama-sama dengan yang lain, termasuk pindaan definisi “persekutuan” di bawah Perkara 160 dan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D.

Menggelarkan pindaan Perkara 1(2) sebagai separuh hati, beliau mendakwa ia hanya dilakukan untuk “menipu rakyat”.

“Mereka melakukan ini hanya untuk memenuhi janji-janji mereka di bawah manifesto kerana ia akan memalukan jika mereka gagal menunaikannya,” katanya.

Beliau juga menyelar pemimpin dari Sabah dan Sarawak termasuk menteri undang-undang Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen.

“Mereka hanya memikirkan kedudukan politik mereka. Mereka perlu tahu pindaan itu adalah jangka panjang dan melibatkan masa depan Sabah dan Sarawak.”