Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan lebihan dagangan luar jangkaan

Peningkatan ringgit bagaimanapun dihadkan oleh kemerosotan harga minyak.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini susulan berita mengenai lebihan dagangan bagi Februari 2019 yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada 9.06 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.0800/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0810/0840 semasa ditutup semalam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri semalam mengumumkan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM11.06 bilion pada Februari 2019, naik 22.7% tahun ke tahun berbanding Februari 2018.

Peniaga berkata, walaupun eksport pada bulan tersebut merosot 5.3% tahun ke tahun disebabkan aktiviti perindustrian yang lemah semasa perayaan Tahun Baru Cina, import turut mencatatkan penurunan yang mengejutkan sebanyak 9.4%.

“Bagaimanapun peningkatan ringgit dihadkan oleh kemerosotan harga minyak,” katanya.

Penanda aras antarabangsa niaga hadapan minyak mentah Brent susut 23 cent kepada AS$69.17 setong manakala minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) merosot 2 cent kepada AS$62.08 setong.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0115/0172 daripada 3.0145/0174 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6517/6565 daripada 3.6624/6661.

Ringgit tinggi berbanding pound British kepada 5.3370/3444 daripada 5.3686/3741 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5782/5858 daripada 4.5809/5859.