Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit gagal mengekalkan keuntungan yang dicatatkan dalam dagangan awal hari ini susulan lebihan dagangan yang dijangka lebih tinggi pada Februari 2019 dan ditutup rendah susulan pengukuhan dolar.

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.0870/0900 berbanding dolar US daripada 4.0810/0840 semasa ditutup semalam.

Peniaga berkata pelabur memilih untuk kekal tidak memasuki pasaran berbanding membuat komitmen menjelang hujung minggu selepas dolar mendapat rangsangan daripada keyakinan terhadap rundingan pandangan yang positif antara Amerika Syarikat dan China.

Secara keseluruhan ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.3458/3509 daripada 5.3686/3741 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6583/6613 daripada 3.6624/6661.

Bagaimanapun ia menyusut berbanding euro kepada 4.5889/5927 daripada 4.5809/5859 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0182/0207 daripada 3.0145/0174.