Tiada baucar buku beri kesan kepada pesta buku, kata penerbit

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menarik lebih 2 juta pengunjung setiap tahun. (Bernama pic)

KUALA LUMPUR: Penerbit buku mengakui ketiadaan baucar buku banyak memberi kesan kepada jualan di Pesta Buku Antabarangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sejak ia dihentikan 2 tahun lalu.

Pengurus Besar Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah berkata, ia bukan sahaja membantutkan hasrat pengunjung untuk membeli buku, malah kebanyakan buku tidak dapat habis dijual sehingga memaksa penerbit menawarkan diskaun yang tinggi.

“Selepas seminggu pesta buku berlangsung, kebanyakan pengunjung hanya fokus kepada jualan yang murah dan kebanyakan buku laris adalah yang berdiskaun tinggi. Jadi nampak sangat mereka berhati-hati dengan pembelian mereka.

“Sekarang penerbit pun tak banyak fokus kepada penerbitan buku baru, jadi kita jual buku lama dengan diskaun sampai 80% tetapi jualan buku tetap menurun,” katanya kepada FMT.

Sakri berkata, penerbit juga mengurangkan jumlah cetakan buku kerana kos penyimpanan yang tinggi.

“Cetakan pertama kalau terbitkan banyak, kos adalah rendah tetapi kos penyimpanan buku akan menjadi semakin tingi. Jadi daripada terus tanggung kos simpan, lebih baik jual buku dengan diskaun, paling tidak dapat pulang balik modal.

Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah

Kata Sakri, kebanyakan penerbit buku masih tidak pasti apakah hala tuju yang harus diambil supaya terus relevan pada masa akan datang.

“Penerbit sebenarnya masih bingung untuk membuat bajet tahunan mereka, sama ada untuk terbitkan judul baru dalam jumlah banyak atau pertahankan buku sedia ada. Banyak penerbit tutup disebabkan kuasa beli masyarakat makin berkurang.

“Sudah tentu masyarakat akan mementingkan perkara asas terlebih dahulu dalam kehidupan harian berbanding buku,” katanya.

Justeru, Sakri berharap kerajaan dapat membantu industri buku tempatan dalam bentuk dana yang lebih khusus.

“Adakah kita nak memandaikan bangsa di portal dan media sosial sahaja? Kerajaan perlu bantu menyediakan buku setaraf dengan negara maju. Malah dalam Dasar Buku Negara pada 1985 tertulis bahawa kerajaan akan memberikan peruntukan khas untuk membangunkan perusahaan buku.

“Dahulu baucar buku banyak membantu. Sekarang inisiatif itu kita tak pasti sama ada kerajaan akan laksanakannya kepada buku atau untuk barangan lain sebab ia akan mempengaruhi pembeli,” katanya.

Kata Sakri, jika kerajaan tidak membantu industri buku tempatan, buku luar negara akan mendominasi pasaran tempatan.

“Kalau kita perlahankan jualan buku tempatan, buku luar negara lebih banyak dijual kepada masyarakat, maka buku tempatan semakin berkurang. Pasaran kita akan melimpah dengan penerbit luar negara, tetapi kita akan menghadapi masalah dalam perkembangan pengetahuan masyarakat tempatan,” katanya.

Mohd Ali Mohd Noor

Dalam pada itu, Pengurus Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Mohd Ali Mohd Noor berkata, selagi bantuan kerajaan seperti baucar buku tidak diwujudkan kembali, jualan buku akan terus menderita.

“Orang sekarang berjaga-jaga nak beli buku. Mereka hanya nak beli perkara penting. Kalau ada duit lebih baru beli. Kita pula kena pandai turunkan harga. Kos cetak pun meningkat sebab kertas sudah mahal, kalau dahulu contoh satu buku RM20 sekarang naik RM25.

“Sebab itu kalau boleh kembalikanlah baucar buku. Kalau tidak macam mana masyarakat seperti golongan belia nak beli? Mereka akan tunggu jualan murah sahaja. Sekurang-kurangnya mereka akan ambil inisiatif untuk habiskan baucar tersebut. Tanpa baucar tengoklah, jualan boleh dikatakan turun sehingga 50%,” katanya.

PBAKL kali ke 38 sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dijangka berakhir 7 April ini. Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam. Ia dianjurkan oleh Majlis Buku Malaysia dengan kerjasama pemain utama industri buku tempatan.

Sejak 2013, PBAKL mencatatkan lbih 2 juta pelawat setiap tahun. Selain jualan buku daripada penerbit tempatan dan antrabangsa, pelbagai acara lain turut diadakan, termasuk pelancaran buku, sesi bertemu penulis, seminar serta konvensyen.