120 mangsa pencemaran Sg Kim Kim buat laporan polis, mahu tuntut ganti rugi

Peguam Kamarudin Ahmad (tengah) berkata, saman tuntutan ganti rugi atas kecuaian pihak berkuasa dan pemilik kilang yang menjadi dalang pencemaran itu akan dibuat Jun depan. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Seramai 120 individu membuat laporan polis hari ini berhubung bencana pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang bulan lepas.

Laporan masing-masing daripada penduduk di sekitar Taman Pasir Putih, Pasir Gudang Baru, Cahaya Baru dan Taman Scientex itu dibuat mulai 3 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, merangkumi tuntutan ganti rugi berhubung kejadian itu.

Peguam yang mewakili kesemua individu tersebut, Kamarudin Ahmad berkata, asas saman tuntutan ganti rugi atas kecuaian pihak berkuasa dan pemilik kilang yang menjadi dalang kepada pencemaran itu akan dibuat pada Jun depan.

Beliau berkata, tuntutan itu akan dibuat setelah pihaknya mendapat kesemua maklumat, termasuk laporan kesihatan penuh terhadap kesemua anak guamnya.

“Tuntutan saman ganti rugi ini adalah tertumpu kepada kos perbelanjaan dari segi perubatan, perjalanan dan pemeriksaan kesihatan yang perlu ditanggung mangsa.

Kamarudin memberitahu pemberita, tuntutan yang dibuat juga mengambil kira kesan jangka panjang yang mungkin dialami mangsa semenjak bencana pencemaran sisa kimia itu melanda pada 7 Mac lepas.

“Dalam kalangan mereka mengalami simptom seperti sesak nafas, sesak dada, muntah-muntah dan pengsan.

“Saya juga ada berjumpa dengan satu keluarga yang anaknya ada masalah urat saraf sehingga kakinya tidak boleh jalan, kita bimbang kesan jangka panjang,” katanya.