Apa kejayaan terbesar pemerintahan PH? Anwar beri jawapan

Anwar ibrahim berkata sekarang dapat dilihat penyokong ‘Bossku’ beratur di luar mahkamah.

SEREMBAN: Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kejayaan terbesar kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sepanjang 11 bulan memerintah adalah menghapuskan gejala rasuah.

“Ini juga termasuk mengheret mereka yang mencuri ke mahkamah,” katanya dalam majlis sambutan ulang tahun ke-20 PKR di Dataran Rantau semalam.

Hadir sama, bekas presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Setiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Anwar berkata tindakan tegas kerajaan PH mendakwa pemimpin yang rasuah bukan untuk membalas dendam mahupun menghasut rakyat supaya membenci pemimpin terdahulu.

“Tapi kita mahu mereka yang rompak khazanah negara mengganti balik apa yang mereka telah curi dari rakyat.

“Sekarang kita boleh lihat penyokong-penyokong ‘Bossku’ beratur di luar mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sama sekali tidak akan memberikan tekanan kepada pemimpin kecuali mereka yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa terhadap rakyat.

“Kecuali mereka buat rasuah, kita akan dakwa dan hukum mereka ke penjara.”

Anwar turut menolak dakwaan PH mengabaikan agama Islam, mengatakan kerajaan sama sekali tidak akan cuai dalam menjaga kepentingan Islam sebagai agama persekutuan Malaysia.

“Saya tegaskan di sini, perjanjian yang sudah dimeterai, pakat-pakat bersetuju Islam agama persekutuan dan kita tolak pemikiran ekstrim,” katanya.