Dakwaan ‘kehilangan paksa’ oleh Suhakam beri kesan buruk terhadap polis

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis menyelar tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, tindakan mendedahkan kesimpulan itu kepada umum memberi kesan buruk terhadap pasukan itu.

“Saya selaku pengarah Cawangan Khas Bukit Aman ketika ini berasa terkesan dengan apa yang disuarakan Suhakam kerana mengaitkan cawangan ini dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang walaupun tidak berada di posisi ini ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas upacara perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan itu, selain memenuhi tuntutan Suhakam sebelum ini.

Katanya pihak polis juga memberi kerjasama dalam sesi prosiding inkuiri oleh Suhakam.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada maklumat mengenai lokasi Raymond Koh dan Amri ketika ini memandangkan kes itu berlaku pada 2016 dan 2017.

“Saya tidak berada di situ ketika itu dan tiada maklumat mengenai kejadian, jadi saya yakin Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun akan memberikan kenyataan bagi menjawab segala dakwaan yang dibangkitkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pihak polis kini sedang menangani persepsi terhadap pasukan itu yang dihukum di khalayak umum dengan dakwaan ia dilakukan Cawangan Khas, katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan membuka siasatan baru susulan laporan Suhakam yang membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat, masing-masing pada tahun 2016 dan 2017.

Menurut Dr Mahathir, bagi melaksanakan siasatan itu, kerajaan akan menunggu sehingga pelantikan ketua polis negara yang baru dimuktamadkan, memandangkan kesimpulan itu membuat tuduhan terhadap ketua polis semasa Mohamad Fuzi.

Pada 3 April lepas, Suhakam mengeluarkan satu laporan susulan inkuiri 18 bulan berhubung beberapa kes kehilangan orang, dan laporan itu membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terbabit dalam “kehilangan paksa” Koh dan Amri.

Mohamad Fuzi yang dijadualkan bersara sebagai ketua polis negara bulan depan, adalah ketua Cawangan Khas ketika itu.

Prosiding inkuiri itu dipengerusikan oleh pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan.