Daripada hobi, kini tanaman orkid raih RM50,000 sebulan

Nurseri Orkid Seremban.

SEREMBAN: Nurseri orkid milik Ng Zhi Hui penuh dengan bunga-bungaan yang beraneka warna, tetapi ramai yang terlepas pandang ketika memandu sekitar bandar Seremban atau menuju ke Port Dickson.

Nurseri Orkid Seremban terletak di Mambau, pekan kecil yang terletak 10km dari bandar ini. Ia diusahakan bapa Ng sejak 34 tahun lalu, yang merupakan hobi masa kecilnya menanam orkid.

Kini, nurseri tersebut menjadi sumber pendapatan lumayan kepada 2 beranak itu di mana jualan mereka boleh mencecah RM50,000 sebulan.

Kebanyakan pelanggan mereka adalah orang berada, yang sentiasa mencari spesimen yang cantik. Spesis luar biasa di nurseri mereka boleh mencecah harga ribuan ringgit, tidak termasuk spesis hibrid yang mereka tanam secara eksperimen.

Salah satu spesimen hibrid tersebut mengambil sempena nama bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Kebanyakan pokok orkid dijual dengan harga RM40 hingga RM50 sepasu.

Ng Zhi Hui, dari Rahang, Negeri Sembilan, mengusahakan Nurseri Orkid Seremban bersama bapanya.

Ng dan bapanya banyak memesan orkid dari luar, ada kalanya 3,000 hingga 5,000 pokok sekali gus sehingga terpaksa diangkut dengan lori 5 tan.

Di Seremban tidak banyak kebun orkid, jadi perniagaan Ng tidak berdepan persaingan sengit. Semasa musim perayaan, terutama Tahun Baru Cina dan Hari Raya, jualannya lebih banyak, boleh mencapai 2 malah 3 kali ganda.

Ng, 31, berkelulusan dalam bidang pemasaran dan mula bekerja penuh masa dengan bapanya 4 tahun lalu dan menjangkakan akan mengambil alih urusan perniagaan keluarga itu suatu hari nanti.

Bagi Ng, hari kebiasaan dia memeriksa beribu-ribu pokok orkid, jika ia perlu disiram. Ia menjadi tugas yang mencabar kerana mereka menggunakan sejenis lumut khas untuk tanaman orkid. Ia 10 kali lebih mahal daripada tanah biasa, tetapi dengan menggunakan lumut tersebut, Ng dengan 5 pekerja hanya perlu menyiram orkid itu seminggu sekali.

Lumut itu berasal dari Amerika Selatan sementara benih pokok orkid – berumur 6 hingga 8 bulan – diambil dari Selangor.

Benih yang ini dihantar ke nurseri Ng diletakkan di dalam botol kaca. Untuk tempoh 5 tahun, Ng dan pekerjanya akan memantau pertumbuhannya dan memindahkannya ke pasu lebih besar mengikut saiz.

Antara benih orkid yang terdapat di Nurseri Orkid Seremban.

Orkid lain, terutama spesis yang memerlukan cuaca sejuk, diletak di kawasan berhawa dingin.

Menjaga orkid adalah sesuatu yang sangat meletihkan, tetapi Ng mesti sentiasa bersiap sedia.

“Saya belajar semua itu dari sifu saya,” katanya kepada FMT.

Bapa Ng kerap dilantik sebagai pengadil untuk pertandingan orkid di dalam dan luar negara dan baru-baru ini diundang ke Taiwan untuk satu pertunjukan bunga.

Bapanya juga merupakan sebahagian Persatuan Orkid Seremban, tetapi dibubarkan tidak lama dulu kerana keahliannya semakin kurang.

Apapun, ini tidak bermakna minat terhadap tanaman orkid juga turut berkurangan.

“Untuk masa ini, ia tidak akan mati sebab masih ramai gemar mengumpulkan orkid.

“Mereka yang sudah bersara, yang berumur 60-an atau 70-an, turut menjadikan tanaman orkid sebagai hobi.

Orkid sebenarnya boleh hidup berpuluh-puluh tahun, selagi tidak terdedah kepada jangkitan bakteria atau cuaca buruk.