Dr M maksudkan personaliti istana, bukan parti, kata Anwar

Anwar berkata, kenyataan Dr Mahathir merujuk kepada personaliti istana, bukannya anggota PH.

SEREMBAN: Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini berkata, perdana menteri merujuk kepada “personaliti” tertentu dalam keluarga diraja ketika menyebut bahawa penentang Statut Rom cuba melaga-lagakan Raja-raja Melayu dengan kerajaan persekutuan.

Semalam Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, keputusan Putrajaya menarik dari daripada triti antarabangsa itu adalah disebabkan kempen memburuk-burukkan oleh “pihak tertentu” yang mempolitikkan isu tersebut.

Anwar diminta memberi komen berhubung desas-desus bahawa Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH), merujuk kepada seseorang dalam pakatan kerajaan itu.

Anwar berkata, kenyataan Dr Mahathir itu sangat spesifik.

“Perdana menteri merujuk kepada usaha spesifik personaliti tertentu dalam kalangan keluarga diraja, bukannya merujuk kepada mana-mana anggota parti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Anwar berkata, orang ramai tidak harus membuat andaian melampaui kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir itu.

“Ia jelas kepada saya kerana beliau ada menerangkannya semasa kami berdua berbincang,” katanya dengan menambah bahawa media “nakal” kerana menafsirkan kenyataan perdana menteri itu menurut cara tertentu.

Bagaimanapun, Anwar, yang dijadualkan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri berkata, keputusan Putrajaya menarik diri daripada perjanjian itu perlu dijelaskan dengan baik.

“Sama seperti ICERD, mana-mana tafsiran negatif oleh pembangkang hendaklah diambil kira dan dijelaskan,” katanya merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.

Kerajaan memutuskan untuk tidak meratifikasi perjanjian hak asasi manusia antarabangsa itu tahun lepas berikutan dakwaan pengkritik bahawa ia akan menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.