Equanimity bukti skandal 1MDB berlaku, kata Guan Eng

Kapal Equanimity milik Jho Low dijual kepada Genting Malaysia Bhd pada harga RM514 juta.

SEREMBAN: Menteri Kewangan menegaskan transaksi penjualan kapal mewah Equanimity adalah bukti kewujudan skandal 1MDB yang diragui beberapa pihak.

“Mereka cakap 1MDB itu tipu, kalau mereka kata kita tipu, macam mana kita boleh jual (kapal) Equnimity untuk penjualan AS$126 juta?

“Itu bukti 1MDB betul-betul berlaku,” kata Lim dalam ceramah di depan kira-kira 200 hadirin di Taman Jep Indah, Rantau, malam tadi.

Terdahulu, Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, disahkan dijual kepada kepada syarikat tujuan khas (SPV Genting Malaysia Bhd pada harga RM514 juta.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, Genting akan membayar AS$126 juta kepada Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Thomas berkata AS$126 juta ialah tawaran terbaik yang diterima dalam 5 bulan, sejak kerajaan mengumumkan akan menjual Equanimity pada Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Lim berkata, selain 1MDB, kerajaan juga berdepan dengan isu penyelewengan yang berlaku pada era pemerintahan kerajaan lalu.

“Kita perlukan banyak wang juga untuk pulihkan (penyelewengan), puluh bilion pun tak cukup. Banyak institusi-institusi lain yang kita nak selamatkan.

“Saya tak nak ulas Tabung Haji (TH), sebab itu bawah Mujahid dan Azmin. Tapi sebagai menteri kewangan, saya sokong mereka untuk selamatkan institusi ini (TH),” katanya merujuk menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Semalam, Kerajaan mengumumkan Lembaga TH memberi hibah sebanyak 1.25% membabitkan agihan sebanyak RM913 juta untuk 2018.

Ia jauh lebih rendah berbanding 6.25% bagi 2017.