Jangan kaitan kemerosotan pelaburan Pulau Pinang dengan kerajaan pusat, kata Ramasamy

Timbalan KM II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, Najib tidak akan memberi gambaran positif mengenai Pulau Pinang atau mana-mana negeri yang ditadbir PH.

LUMUT: Penyusutan pelaburan di Pulau Pinang tidak boleh dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan pusat kerana situasi itu turut berlaku di mana-mana negara.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy berkata, kenyataan bekas perdana menteri, Najib Razak yang mengaitkan situasi pelaburan negeri itu dengan peningkatan hutang negara adalah tidak wajar.

“Najib bukan seorang yang berhak cakap pasal ini (pelaburan Pulau Pinang). Dia tiada kredibiliti. Penyusutan (pelaburan) ada pada masa dia. Ini bukan terhad di Pulau Pinang sahaja. Ini kebiasaan di dunia.

“Najib tidak akan memberi gambaran positif mengenai Pulau Pinang atau mana-mana negeri yang ditadbir Pakatan Harapan, tetapi kita kembali kepada masa Najib menjadi perdana menteri yang terjadinya ‘kelukaan’ dalam sistem, mana perginya jutaan atau bilion ringgit?,” katanya.

Ramasamy bercakap kepada Bernama semasa majlis jamuan mesra bersama keluarga dan penduduk setempat di rumah keluarganya di Kampung Baru, Sitiawan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang menyebut pada ceramah anjuran MIC di Bandar Ekar Rantau, Negeri Sembilan, malam tadi mengenai pelaburan Pulau Pinang yang turun 50%.

Ramasamy yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Perai berkata, situasi pelaburan di Pulau Pinang masih stabil dan pihaknya mahu memastikan segala pelaburan melibatkan industri teknikal yang canggih dan mengutamakan pekerja tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai kain rentang yang berbaur perkauman terhadap calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Ramasamy berkata, perbuatan itu adalah keterlaluan dan bersifat ekstremis.

Katanya, biarpun perkara itu dinafikan pihak Umno mahupun PAS, ia mungkin berpunca daripada organisasi yang menyokong mereka.

“Mereka kehilangan modal… sepatutnya jelaskan apa dasar pembangunan. Kamu boleh kritik PH teruk-teruk… adakah dasar PH beri faedah kepada rakyat atau tidak, tetapi janganlah kutuk India kerana dia orang India atau sebaliknya,” katanya.