Kain rentang provokasi bukan perbuatan BN, kata Tok Mat

Kain rentang provokasi terhadap calon PH, Dr S Streram yang dipasang di sekitar Rantau baru-baru ini.

SEREMBAN: Perbuatan memasang kain rentang provokasi terhadap calon Pakatan Harapan di pilihan raya kecil (PRK) Rantau bertujuan memburukkan reputasi Barisan Nasional, kata Mohamad Hasan.

Calon BN itu turut menafikan perbuatan itu dilakukan parti itu dan tidak menolak ia dilakukan pihak lawan.

“Ini merupakan provokasi yang mereka sendiri buat, modus operandi PKR ini dalam poket kita, kita tahu cara dia buat perang psikologi, saya mengutuk sekerasnya bagi pihak BN,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama BN hari ini.

Mohamad diminta mengulas mengenai kain rentang provokasi terhadap Dr S Streram yang dipasang di sekitar Rantau baru-baru ini.

Kain rentang itu tertera tertulis, “Jangan Undi Ke****, jangan beri dia kuasa, mari bangkit Melayu Negeri, Kita ganyang sama dia. Buktikan kita anak jati Rantau”.

Streram sebelum ini dilaporkan meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menaikkan kain rentang dengan ayat-ayat yang disifatkannya berbentuk provokasi terhadapnya.

“Hari-hari saya dapat provokasi, tapi kita (PH) tidak akan membalasnya dengan provokasi… yang penting kita fokus sebab saya nak rakyat Rantau bagi saya peluang, mungkin provokasi ini nak alih perhatian saya tetapi saya tetap akan fokus,” katanya memetik laporan Bernama.

Mengulas lanjut, Mohamad menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis segera melakukan siasatan atas dakwaan berkenaan.

“Saya amat kesal. Minta SPR, polis siasat pihak yang melakukan provokasi tidak sepatutnya dilakukan,” katanya.

Mohamad Hasan berkata partinya tidak perlu membuat provikasi sedemikian kerana beliau sedang berusaha untuk tingkatkan peratusan sokongan India terhadapnya.

Bekas menteri besar itu juga berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, perbuatan itu didakwa dilakukan penyokong PKR.

“Kain rentang provokasi sebegitu rupa khususnya yang berunsur perkauman, memang kempen yang dilakukan pihak PKR untuk menyeru orang India jangan undi saya.

“Dulu masa PRU13, saya masih ingat lagi kuil dalam estet dirobohkan oleh mereka sendiri, diupah dan akhirnya mereka tuduh kerajaan roboh kuil tersebut,” katanya.

Mohamad berkata, beliau tidak perlu melakukan provokasi sedemikian untuk memastikan pengundi Melayu menyokongnya kerana 90% sokongan kaum itu memihak kepadanya.

“Saya tak perlu lakukan itu, kerana kalau itu maksudnya supaya orang Melayu jangan undi Dr Streram, kamu tahu saya ada kelebihan dalam kalangan Melayu di Rantau, saya tak perlu buat itu untuk menghasut orang Melayu.

“Jadi maknanya provokasi itu jelas nak dituju kepada pengundi orang India untuk menimbulkan kemarahan pengundi India kepada saya.

“Takkan saya nak buat itu, padahal saya sekarang sedang berusaha untuk tingkatkan peratusan sokongan India kepada saya, mengikut logiknya saya tak perlu buat tindakan sebegitu, BN tak perlu buat provikasi begitu,” katanya.

Difahamkan kain rentang itu dipasang sekitar Kampung Pasir. Bagaimanapun tinjauan media mendapati kain rentang berkenaan telah diturunkan.