Kelulusan warganegara lebih cepat tidak lama lagi, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata kementeriannya akan memberi kuasa kepada ketua kampung di pedalaman Sabah mendaftarkan kelahiran.

KOTA KINABALU: Kerajaan akan memperbaiki prosedur dalam pemberian status kewarganegaraan dengan menjadikannya lebih mudah dan cepat.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata sesetengah individu terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapat taraf kewarganegaraan.

“Kebanyakannya menjadi dewasa dan dinafikan kepada akses pendidikan, kesihatan kerana status mereka.

“Kadang-kadang, permohonan mereka ditolak kerana dokumen yang tidak lengkap tetapi mereka tidak menyedarinya dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak memaklumkan kepada mereka.

“Oleh itu, kita perlu telus dan menjelaskan kepada mereka dan pastikan semua dokumen yang lengkap dihantar.

“Jabatan tidak patut menangguhkannya jika semua keperluan dipenuhi kerana mereka ini mempunyai hak untuk menjadi rakyat negara ini,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, pihaknya memutuskan ketua kampung terutamanya di kawasan terpencil akan diberi kuasa sebagai pendaftar kelahiran di kampung mereka dalam usaha kerajaan mengurangkan kelewatan mendaftar kelahiran.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan pasukan bergerak JPN untuk membantu pendaftaran.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau berpuas hati dengan pembinaan balai polis Kota Kinabalu yang baru di Kepayan yang kini siap 48%.

Projek itu dijangka selesai pembinaan pada Mei 2020 dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperbaiki infrastruktur polis di Kota Kinabalu.

Muhyiddin juga berkata 14 projek pembangunan lain akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan agensi di bawah kementeriannya.