KKM: Tiada larangan merokok dalam kenderaan persendirian

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye ketika menghadiri program penanaman pokok di FRIM, Kepong, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak berhasrat memperluaskan kawasan larangan merokok sehingga menganggu ruang peribadi pemandu kenderaan persendirian, selepas komited mewartakan semua tempat awam sebagai larangan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata, ibu bapa yang merokok dalam kenderaan bagaimanapun harus sedar tindakan itu akan mendedahkan anak-anak mereka kepada asap rokok.

“Kereta itu kawasan persendirian, kalau kenderaan awam memang di bawah peraturan sedia ada. Ketika ini memang sudah jadi kawasan larangan merokok kalau hendak naik bas awam, kereta api. Memang tidak boleh merokok dalam kenderaan awam.

“Kenderaan sendiri itu adalah ruang peribadi, kita tidak boleh (ganggu). Sepatutnya kalau ibu bapa yang memandu dalam kereta, ada kanak-kanak tidak sepatutnya merokok, sebaliknya jaga anak-anak mereka.

“Kalau dia pandu kereta seorang, itu tidak mengapalah kerana haknya untuk merokok atau tidak,” katanya dalam sidang media, selepas hadir program penanaman pokok di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, hari ini.

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan kepada Putrajaya mempertimbangkan kempen bagi menghalang perbuatan merokok dalam kenderaan.

Presiden MMA Dr Mohamed Namazie berkata, beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Perancis menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan persendirian, dengan mengenakan denda bagi mereka yang merokok jika ada kanak-kanak atau wanita hamil berhampiran.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan komited menggubal Akta Kawalan Tembakau secara berasingan dalam masa terdekat, yang mewartakan semua tempat awam sebagai kawasan larangan merokok dengan senarai tempat terhad untuk perokok.

Dzulkefly berkata, bukan hasrat beliau atau kementerian untuk mengisytiharkan merokok sebagai menyalahi undang-undang tetapi ia untuk memastikan orang ramai terutama wanita dan kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok.

Dalam perkembangan lain, Lee menjelaskan, sejak pewartaan premis makanan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari lalu, sebanyak 22,2767 notis amaran diberikan kepada premis makanan yang tidak mempamerkan notis tanda larangan merokok.

“Setakat 1 Januari hingga 23 Februari lalu, kita sudah keluarkan notis kepada premis makanan yang tidak pamerkan notis larangan merokok. Ini notis amaran sahaja, pada Julai kita akan mula saman sekiranya ada yang melanggar peraturan,” katanya.

Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari 2019, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.

Manakala di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun.