Kuil banyak daripada masjid tapi tuduh saya rasis, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata pentadbirannya berusaha menyelesaikan masalah pengundi India sejak dilantik menjadi menteri besar dari 2004 hingga 2013.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau, Mohamad Hasan mendakwa banyak masalah pengundi India berjaya diselesaikan di Rantau ketika beliau menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 14 tahun dulu.

“Di dalam Negeri Sembilan, terutamanya orang India, semua masalah saya selesaikan, daripada masalah kuil, masalah tanah dan SJKT. Semua masalah tanah kita selesaikan.

“Di Rantau, kuil lebih banyak daripada masjid, itu pun mahu cakap saya rasis.

“Tak payah dengar cakap orang, ada yang kata saya jadi menteri besar 14 tahun tak buat apa apa. Kita buat macam-macam,” katanya dalam ceramah umum ‘Bossku’ bersama masyarakat India di Bandar Ekar.

Hadir sama dalam ceramah itu ialah bekas perdana menteri Najib Razak, pimpinan MIC, PAS dan wakil persatuan India termasuk penyokong BN.

Najib dalam ucapannya malam tadi turut mengakui jasa Mohamad, antaranya pembangunan di Bandar Sri Sendayan.

“Kalau kita nak perubahan kepada landskap politik kita mesti beri kemenangan besar pada Tok Mat. Banyak jasa dia pada kita, jadi macam mana mahu lagi,” katanya.

Tok Mat bantu penduduk

Beberapa penduduk ketika ditemui, mengakui Mohamad banyak membantu masyarakat India.

“Tok Mat banyak bantu masyarakat Orang India, kalau anda tengok masyarakat India di Rantau ini tidak ada yang tidak makan sebab miskin,” kata G Manimaaran.

Sementara itu, seorang lagi pengundi yang mahu dikenali Ramli berkata Mohamad tidak pernah pilih kasih dalam memberi bantuan.

“Tok Mat bila dia beri sumbangan, semua bangsa dia bantu sama rata,” katanya.

Bagi Chang Lim, penduduk Rantau sangat mengenali Mohamad.

“Macam saya, walaupun Najib perdana menteri, saya lebih kenal Tok Mat, kerana sering bertemu beliau.

“Tok Mat tidak pernah menolak, jika mana-mana pihak memohon bantuan, orang minta duit nak pergi cabut gigi,” kataya.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi tidak hadir.

Sejumlah 11,283 pengundi atau 55.11% daripadanya adalah pengundi Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina dan 5,336 atau 26.06% adalah pengundi India.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad, Streram dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin.