Malaysia, Indonesia sepakat bantah sekatan EU

Malaysia menggesa Kesatuan Eropah untuk memberi layanan adil dan saksama terhadap semua biobahan api dan biocecair bersumberkan minyak tanaman.

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersepakat membantah Arahan Tambahan Peraturan Perwakilan 2018/2001 Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui Kesatuan Eropah II di Brussels pada 8-9 April 2019.

Menurut kenyataan Kementerian Industri Utama hari ini, kedua-dua pengeluar utama minyak sawit dunia itu akan memulakan misi bersama ke Brussels di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Misi bersama itu dipersetujui pada Mesyuarat Peringkat Menteri CPOPC Ke-6 yang diadakan di Jakarta, Indonesia, pada 28 Februari lepas bagi menyatakan pendirian negara terbabit berhubung Peraturan Perwakilan berkenaan.

“Malaysia menegaskan undang-undang itu jelas mendiskriminasi biobahan api dan biocecair yang dihasilkan minyak sawit berbanding tanaman lain.

“Malah, peraturan itu juga kekurangan data saintifik dan maklumat sahih yang mengklasifikasikan pengeluaran minyak sawit sebagai suapan biobahan api berisiko tinggi bagi Perubahan Penggunaan Tanah Tidak Langsung.”

Menurut kementerian itu, maklumat serta tafsiran salah mengenai pengeluaran minyak sawit itu akan turut menjejaskan negara-negara yang bergantung kepada industri berkenaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat selain mengetepikan pelaksanaan pelbagai usaha mapan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Sehubungan itu, Malaysia menggesa Kesatuan Eropah untuk memberi layanan adil dan saksama terhadap semua biobahan api dan biocecair bersumberkan minyak tanaman, sejajar prinsip tiada diskriminasi Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“Malaysia juga akan terus berusaha menangani amalan diskriminasi yang menjejaskan perdagangan minyak sawit,” kata kementerian itu.