Malaysia, Singapura setuju selesai isu ruang udara

Pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura yang menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, dibantah Malaysia, baru-baru ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju menyelesaikan pertikaian ruang udara apabila republik itu menarik balik prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, manakala Malaysia menangguhkan Kawasan Larangan (RA) di ruang udara Pasir Gudang.

Perjanjian ini dicapai dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, hari ini.

“Perjanjian ini dilaksanakan oleh pihak berkuasa penerbangan awam kedua-dua negara mulai 5 April 2019 pada jam 11.59 malam.

“Dengan perjanjian ini, menteri pengangkutan mengalu-alukan penerbangan FlyFirefly Sdn Bhd ke Lapangan Terbang Seletar mulai April 2019,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyatakan kedua-dua menteri berkata Jawatankuasa Peringkat Tinggi akan ditubuhkan untuk mengkaji semula Surat Perjanjian Operasi antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974.

Ia juga berkata kedua-dua menteri mengalu-alukan langkah positif tersebut dan berharap dapat terus memperkuatkan lagi kerjasama 2 hala.

Pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar di Singapura melibatkan pendaratan pesawat di lapangan terbang itu menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor, dibantah oleh Malaysia.

Singapura dan Malaysia turut saling menuding jari berhubung apa yang setiap pihak tegaskan sebagai perluasan had pelabuhan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar Malaysia dan Singapura, pada 8 Januari lalu bagaimanapun mencapai persetujuan bersama untuk menangguhkan pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar.