Militan Taliban tawan daerah di barat Afghanistan

Kumpulan pemberontak dilaporkan menduduki semua institusi di daerah tersebut selepas pasukan keselamatan berundur ke Gunung Quchaq di pinggir kawasan itu. (Gambar AFP)

QALA-E-NAW (Afghanistan): Militan yang setia kepada kumpulan Taliban menguasai sepenuhnya daerah Ab Kamari yang bergolak di wilayah Badghis di barat Afghanistan dalam tempoh semalaman, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai majlis wilayah itu, Mohammad Naser Nazari pada Sabtu.

“Militan Taliban akhirnya berjaya menguasai daerah Ab Kamari pada lewat malam Jumaat selepas 3 hari mengepungnya,” katanya.

Beliau berkata, pemberontak menduduki semua institusi di daerah itu selepas pasukan keselamatan berundur ke Gunung Quchaq di pinggir kawasan itu, yang terletak di bahagian barat ibu kota wilayah tersebut.

Pegawai pasukan keselamatan belum mengesahkan perkara itu.

Militan Taliban sejak kebelakangan ini memperhebatkan serangan mereka dan mengusir pasukan keselamatan dari beberapa kawasan di tengah-tengah usaha rundingan damai antara Amerika Syarikat dan wakil Taliban di Qatar.

Daerah Bala Murghab di Badghis dilaporkan berada di ambang kejatuhan manakala di wilayah utara Badakhshan, daerah Arghanchkhaw ditawan militan pada awal minggu ini, sebelum berjaya dirampas kembali oleh pasukan keselamatan beberapa hari lepas.