Minta kenang jasa, Tok Mat tidak ikhlas, angkuh, kata PKR

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar berkata, permintaan Mohamad seolah-olah menidakkan sumbangan agensi serta penduduk Rantau sendiri dalam membangunkan daerah itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pimpinan PKR menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohamad Hasan sebagai tidak ikhlas selepas meminta pengundi mengenang budinya semasa menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, permintaan pemangku presiden Umno itu sangat angkuh serta mendabik dada seolah-olah menidakkan sumbangan semua agensi serta penduduk Rantau sendiri dalam membangunkan daerah itu.

“PKR melihat tuntutan Mohamad ini sebagai terdesak dan memalukan diri sendiri memandangkan adat Melayu tidak sekali-kali mengajar bangsanya menuntut supaya dikenang perkara baik yang telah dilakukan.

“Perbuatan Mohamad ini saling tak tumpah seperti apa yang telah dilakukan oleh mantan ketuanya iaitu bekas presiden Umno, Najib Razak yang meminta pengundi agar “you help me, I help you” pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohamad dalam satu ceramah umum di Rantau menyeru pengundi supaya ‘mengenang budi’ yang pernah diterima mereka semasa beliau menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, beliau akan memastikan kerajaan Negeri Sembilan disemak imbang sekiranya diberi peluang mewakili rakyat.

Shamsul yang juga merupakan timbalan menteri industri utama berkata, PKR menyifatkan tuntutan “mengenang budi” ini terpaksa dilakukan setelah Mohamad terlanjur bahasa dengan berkata bahawa orang bukan Melayu hanyalah “penumpang” di negara ini ketika memberi ucapan di hadapan kelompok pengundi Melayu dalam PRK Semenyih baru-baru ini.

Katanya, PKR mendesak Mohamad mohon maaf kepada rakyat Malaysia serta menarik balik kata-kata beliau itu.

“PKR menyeru pengundi Rantau supaya menterjemahkan sendiri betapa sifat 2 wajah beliau (Mohamad) apabila berhadapan dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

“PKR sentiasa berpegang teguh kepada pendapat bahawa sesiapa sahaja yang dilantik untuk memikul tanggung jawab sebagai Adun haruslah menggalas mandat tersebut dengan penuh amanah, dedikasi dan rendah diri.

“Bukannya untuk menunjuk-nunjuk, apatah lagi menuntut-nuntut pada kemudian hari agar membalas kembali kerja-kerja serta budi-pekerti yang ditaburkan,” katanya.

Beliau juga berkata PKR komited bersama-sama dengan calon PH, Dr S Streram, menteri besar Negeri Sembilan serta kerajaan PH dalam menyelesaikan isu perumahan mampu milik yang terbengkalai serta tidak dapat diselesaikan oleh Adun dan kerajaan negeri sebelum ini.

PRK Rantau yang dijadualkan 13 April depan menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Mohamad dengan calon PH Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu suri rumah Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.