PBB: Lebih 1,000 kes ebola di Congo

Menurut WHO, penduduk tempatan Republik Demokratik Congo skeptikal untuk mendapatkan rawatan bagi wabak ebola. (Gambar AFP)

NEW YORK: Jumlah kes ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat minggu ini, melepasi angka 1,000, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata satu peningkatan ketara dalam jumlah kes ebola di negara ini berlaku minggu ini, menyerlahkan persekitaran yang sukar dan cabaran yang pelbagai dalam mendepani respons terhadap penularan wabak itu,” kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“Terdapat sejumlah 1,041 kes yang disahkan dilaporkan, termasuk 629 kematian,” kata Dujarric kepada pemberita pada taklimat rutin.

“Sejumlah 338 pesakit yang menerima rawatan di pusat rawatan Ebola sudah dibenarkan pulang.”

“WHO, yang bertugas di bawah kepimpinan kerajaan dan menjalin usaha sama dengan agensi lain, berkata pasukannya kini berusaha membina kepercayaan komuniti dan meningkat respons di semua kawasan terbabit,” katanya.

Agensi itu melaporkan satu perubahan dalam strategi respons baru-baru ini bagi mempromosi penglibatan lebih baik dan pemilikan di komuniti terjejas mula membuahkan hasil.

Serbuan ke atas pusat rawatan virus Ebola oleh “aktor bukan negara,” dilaporkan sejak penularan terkini wabak berbahaya itu pada Ogos, yang terus menjauhkan penduduk tempatan yang skeptikal untuk mendapatkan rawatan, termasuk penggunaan sejenis vaksin bagi subjek-subjek berisiko tinggi, menurut WHO.