Pos Malaysia jual setem spesis lebah madu

Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem baharu menampilkan spesis lebah untuk menanam kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan dan mendapatkan madu yang betul bagi memastikan serangga itu tidak pupus.

Siri setem lebah madu di Malaysia akan mula dijual pada 9 April.

Spesies lebah madu yang dipaparkan dalam siri setem itu ialah Apis Dorsata (Lebah Tualang), Apis Cerana (Lebah Kampung) dan Apis Andreniformis (Lebah Kerdil Hitam).

Sebanyak 600,000 keping (200,000 keping bagi setiap paparan) setem akan dihasilkan bagi siri ini.

Setiap helaian setem berharga RM12 dan mengandungi 20 keping setem.

Selain itu, Pos Malaysia juga akan mengeluarkan 22,000 Lembaran Mini (MS) menampilkan ratu lebah Kelulut, lebah jantan dan lebah pekerja (Heterotrigona Itama) serta 27,000 Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dengan brosur percuma.

Set folder lengkap pula dijual pada harga RM52.80 setiap set yang mengandungi helaian setem, MS dan FDC yang boleh dibeli melalui www.eziemall.com atau di pejabat Pos Malaysia terdekat atau Kompleks Dayabumi.

Orang ramai digalakkan membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) untuk memudahkan urusan pembelian siri setem terbaharu ini dan menikmati manfaat eksklusif yang ditawarkan SODA.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]