PR1MA Rantau jadi ‘projek sakit’, pembeli desak kerajaan tangani segera

Rata-rata pembeli terpaksa menanggung bayaran sewa rumah dan ansuran pinjaman perumahan kerana perumahan PR1MA Rantau lewat siap.

SEREMBAN:Lebih 600 pembeli projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Rantau meluahkan rasa kecewa apabila rumah mereka masih belum siap.

Selain kecawa, rata-rata pembeli ketika ditemui meluahkan rasa bimbang apabila projek itu yang sepatutnya siap awal Januari lalu tertangguh dan kini menjadi “projek sakit”.

Seorang wakil pembeli, Azezam Shah Zambri, 35 berkata, pihaknya menuntut penjelasan pihak berwajib berhubung status pembinaan projek tersebut yang belum disiap, malah tahap kemajuannya juga bergerak perlahan.

Katanya, pihak Perbadanan PR1MA Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu membuat penjelasan kerana pembeli sudah mula membayar ansuran pinjaman perumahan masing-masing.

“Pihak pemaju pula tidak menyatakan sebab kelewatan serta tidak memaklumkan kepada pembeli sama ada menerusi e-mel ataupun telefon mengapa projek ini masih belum disiapkan.

“Kemajuan projek ini pada bulan September tahun lalu dikatakan 50% dan ada pihak yang mula membuat pembayaran kepada bank.

Wakil pembeli, Azezam Shah Zambri

“Mereka yang membuat pinjaman kerajaan dijangka akan membuat bayaran ansuran penuh dalam beberapa bulan lagi,” katanya kepada pemberita di Bandar Ekar, Rantau sambil memberitahu projek PR1MA Rantau sepatutnya disiapkan pada 31 Januari 2019.

Katanya, pihak bank juga mula mengarahkannya membuat bayaran penuh bulanan sebanyak RM1,300 sebulan sebagaimana dipersetujui.

“Sekarang kami kena tanggung bayaran rumah sewa dan bayaran rumah PR1MA. Kalau kosnya macam ini, lebih baik kami beli rumah berharga RM400,000.

“Rata-rata pembeli mereka yang bekerja di Bangi dan sekitar Lembah Klang memayar sewa RM1,000 dan bayar rumah PRIMA pun RM1,300,” katanya.

Beliau dan 5 lagi pembeli ditemui media mengadukan isu kelewatan projek berkenaan.

Azezam berkata, perjanjian jual beli (S&P) yang ditandatangani juga sudah tamat tempoh.

“Ia mula dibina pada 2016 dan ada dalam kalangan kami yang telah tamat tempoh S&P yang menyebut rumah siap tahun 2019.

“Pada Disember lalu, kami diberitahu pembinaan sudah 50% siap dan bayaran peratusan pinjaman telah dituntut oleh bank,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Mohd Kamarulzaman Awang berkata, keadaan yang dihadapinya sekarang merupakan beban yang terpaksa ditanggung.

“Ikut S&P saya sudah boleh duduk bulan Januari lagi. Kami nak tahu status rumah yang kami beli dan berharap pihak tertentu dapat beri jawapan yang kukuh bila rumah ini akan siap.

“Kami terbeban kerana kena bayar 2 tempat, rumah sewa dan rumah PR1MA..

K Thinesh

Bagi K Thinesh, 31, pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak berwajib, antaranya pengurusan PR1MA, kerajaan negeri, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, Mohamad Hasan, namun masih belum ada jalan penyelesaian.

“Kami belum dapat makluman daripada pihak PR1MA. Kami ada buat aduan kepada PR1MA dan pemaju, tapi tidak ada apa-apa makluman lagi.

“Langsung tidak ada apa-apa. Saya harap mereka bagi jawapan yang tepat bila rumah ini akan siap,” luah juruteknik dari Bangi itu lagi.

FMT difahamkan punca utama projek itu dihentikan ilah kerana pihak PR1MA tidak membuat bayaran kepada pemaju.

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui berkata, projek tersebut bukan sahaja berjalan perlahan, tetapi terbengkalai sejak beberapa bulan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

“Saya telah tulis surat kepada PR1MA supaya mengambil perhatian dan teruskan projek itu. Seperti yang kita tahu PR1MA tidak mempunyai peruntukan untuk meneruskan projek ini. Saya seru, terutama menteri kewangan, supaya bantu agar pembeli tidak teraniaya,” katanya.

“Projek tersebut terbengkalai selama beberapa bulan selepas pilihan raya umum ke-14. Kontraktor berhenti meneruskan kerja mereka kerana tidak dapat bayaran,” katanya, dengan menambah bahawa kegagalan menyiapkan projek mengikut waktu ditetapkan akan menganiayai pembeli.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjanji akan meneliti isu projek perumahan PR1MA Rantau yang belum disiapkan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini beliau belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.

“Kalau ikut keputusan kita, rumah yang dalam pembangunan kita teruskan. Jadi yang ini saya tidak tahu apa isunya, rumah tertangguh.

“Bukan kes PR1MA saja, tapi banyak jadi begitu. Tak mengapa, saya akan lihat projek PR1MA Bandar Ekar ini,” katanya dalam sidang media pada program hi-tea bersama beliau di Kuala Sawah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, kemungkinan kerajaan akan mencari kontraktor baru untuk menyelamatkan projek itu sekiranya ia tidak berpunca daripada masalah kewangan.

“Kebanyakan projek rumah yang ada masalah ialah kontraktor tak dapat teruskan projek kerana masalah kewangan. Tetapi jika kontraktor tiada masalah kewangan, mungkin kita akan cari kontraktor penyelamat untuk meneruskan projek itu.

“Disebabkan PR1MA ini kita sedang semak audit transaksi bisnesnya, banyak perkara kita belum dapat laporan.

“Saya akan tengok apa isu dan telefon pengerusi PR1MA,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau bersedia bertemu dengan pembeli bagi mendengar keluhan mereka.