Rantau miliki sekolah Tamil tercanggih di Malaysia

SJKT Bandar Sri Sendayan yang dulunya dikenali sebagai SJKT Ladang Bukit Bertam dibina dengan kos RM17 juta dan mula digunakan secara rasmi pada 2017.

SEREMBAN: Berdasarkan kedudukannya yang agak tersorok, siapa sangka sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit di pinggir bandar Sri Sendayan yang sedang pesat membangun merupakan sekolah termoden di Malaysia.

Tinjauan FMT ke SJKT Bandar Sri Sendayan 23km dari bandar Seremban dan termasuk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mendapati ia memiliki sistem pembelajaran berteknologi tinggi dan canggih.

Sekolah di kawasan seluas 2.4 hektar itu mempunyai sebuah stadium mini yang lengkap dengan kemudahan bagi semua jenis sukan, selain padang bola yang mampu menampung pertandingan peringkat antarabangsa.

Auditorium pertama bagi sakolah Tamil di Malaysia.

Paling mencuri tumpuan ialah sebuah auditorium yang tidak terdapat di mana-mana sekolah lain di negara ini.

Terdapat 523 sekolah Tamil di seluruh negara, tidak termasuk yang sedang dirancang dan dalam proses pembinaan.

Menurut guru penolong kanan sekolah berkenaan, G Jeganathan, auditorium tersebut digunakan bagi tujuan penyampaian kuliah kepada pelajar, sesi pembentangan serta program Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Ketika ditemui FMT Jeganatahan berkata, sekolah itu juga mempunyai sebuah bilik kaunseling bertaraf 5 bintang serta perpustakaan dalam taman.

Bilik kaunseling bertaraf 5 bintang yang turut berperanan sebagai ruang rehat orang kenamaan yang datang melawat.

Katanya, bilik kaunseling yang disediakan untuk guru mendengar permasalahan pelajar itu turut dijadikan tempat rehat orang kenamaan yang mengunjungi sekolah berkenaan.

Perpustakaan dalam taman yang selesa bagi merangsang minat pelajar.

Beliau berkata, konsep perpustakaan dalam taman yang juga yang pertama sepertinya di negara ini mencontohi konsep pembelajaran yang terdapat di Singapura.

Bentuk dan susunan kemudahan dalam bilik darjah pula mengambil contoh konsep taman dari India dan Bhutan.

Perpustakaan dalam taman yang selesa bagi merangsang minat pelajar.

“Bagi kelas Tahun 1, reka bentuknya ada sedikit kelainan. Di situ ada taman untuk pelajar bermain.

“Maknanya apabila pelajar bosan atau stres di tempat duduk, mereka boleh keluar ke kawasan beranda kelas sambil mengikuti sesi pembelajaran,” katanya.

Kelas yang dicat dengan warna berbeza sesuai dengan tahap pemikiran dan umur pelajar.

Setiap kelas juga dilengkapi peti televisyen dan sesi pengajaran mengunakan paparan LCD. Kawasan sekolah tersebut juga dilengkapi dengan kemudahan wifi percuma.

Sekolah 3 tingkat dengan 12 bilik darjah itu mempunyai 194 pelajar dan 16 guru.

Menurut Jeganathan, setiap kelas diberi nama berdasarkan profesion tertentu.

Bilik sains dengan perabot khas yang diimport dari China.

“Untuk tahun 1, 2 nama kelas yang kita gunakan ialah arkitek dan biologi. Untuk tahun 2, doktor gigi dan kimia. Bagi tahun 3, kita guna nama kelas jurutera; tahun 4 kelas wartawan; tahun 5 juruterbang dan tahun 6 diberi nama kelas guru.

“Guru yang mengajar juga akan mengunakan teknik pembelajaran sampingan dengan menceritakan pekerjaan mereka mengikut kelas yang diajar.

“Sebagai contoh kalau guru itu masuk mengajar kelas arkitek kadang-kadang beliau memakai topi dan seragam seorang arkitek ke kelas bagi menunjukkan bagaimana arkitek bekerja.

Dewan yang dibuka kepada orang ramai dan menjadi sumber dana sekolah.

“Pihak sekolah juga akan menjemput doktor gigi atau juruterbang untuk berkongsi pengalaman kerja dengan pelajar,” kata Jeganathan, dengan menambah bahawa perkara itu dilakukan bagi merangsang pelajar supaya meminati bidang pekerjaan yang mereka gemari.

Jeganathan juga berkata, setiap kelas juga dicat dengan warna yang berbeza mengikut tahap pemikiran dan tahap umur pelajar.

“Tahun 1 kelasnya berwarna-warni. Tahun 2 warna kuning, tahun 3 dan 4 warna biru dan tahun 5 dan 6 berwarna hijau.

“Susunan meja juga dibuat secara berkumpulan. Kita campur antara pelajar pandai dan kurang pandai. Kerusi pelajar juga direka khas dan boleh diubah mengikut ketinggian mereka,” katanya.

Bilik catur eksklusif

Sekolah tersebut juga memiliki sebuah bilik catur eksklusif yang menjadi lambang identiti sekolah itu.

Bilik catur eksklusif yang menjadi identiti sekolah.

“Kita ada bilik catur yang istimewa dan ia merupakan identiti sakolah. Bilik catur dan kelas catur yang kita adakan di sekolah ini adalah yang pertama di Malaysia.

“Kita ada 100 set catur untuk pertandingan dan 100 set lain untuk kegunaan pelajar bermain. Sekolah juga melantik guru catur dari luar dan kelas catur juga diadakan. Ia diwajibkan ke atas pelajar tahun 1, 2 dan 3 selama sejam setiap minggu.

Sekolah berkenaan juga menyediakan bilik latihan dalam perkhidmatan (LDP) berhawa dingin untuk kegunaan pelajar, termasuk pelajar sekolah lain secara percuma.

Bilik makmal sains di sekolah berkenaan juga lain daripada yang lain, dengan perabotnya direka khas dan ditempah dari China.

“Perabotnya tahan rosak dan kalis bahan kimia,” kata Jeganathan lagi.

Dewan serbaguna jana pendapatan

Guru penolong kanan, G Jeganathan menunjukkan salah satu kelas Tahun 1 dalam proses naik taraf reka bentuk mengambil konsep tanam dari India dan Buthan lengkap dengan tv.

SJKT Bandar Sri Sendayan turut memiliki sebuah dewan serbaguna yang cantik dan berhawa dingin yang boleh disewa oleh pihak luar.

“Dewan ini kita buka kepada orang ramai. Sehingga kini lebih 20 majlis perkahwinan diadakan di sini. Dewan ini juga digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan yang lain seperti mesyuarat koperasi dan perjumpaan guru.

“Sewa yang kita kenakan bagi majlis perkahwinan ialah RM4,000 sehari. Hasilnya digunakan untuk tabung sekolah dan untuk kemudahan pembelajaran lain,” katanya.

Sekolah itu juga turut dilengkapi dengan kemudahan asas yang lain seperti tandas untuk orang kurang upaya (OKU) dan sebuah surau.

Bilik komputer yang mampu menempatkan 36 pelajar dalam satu masa.

Sekolah yang dibuka secara rasmi pada 2017 itu juga mencatatkan pencapaian akademik yang memberangsangkan.

“Sekolah ini dibuka kepada semua. Tiada tapisan dibuat. Pencapaian pelajar bagi tempoh 2 tahun ini cukup baik, dengan beberapa pelajar mendapat 6A dan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Sekolah mendapat anugerah cermerlang 100% setiap tahun, di samping pelbagai kejayaan lain dari segi akademik dan kokurikulum,” katanya.

Antara piala kejayaan yang dicapai SJKT Bandar Sri Sendayan dalam bidang akademik dan kokurikulum dalam tempoh 2 tahun.

Ibu bapa yang ditemui mengakui SJKT Bandar Sri Sendayan merupakan sekolah Tamil terbaik di Malaysia.

“Di sini semua lengkap. Tahap pembelajaran, gurunya semua berkualiti.

“Anak saya cepat belajar di sini. Di sini ada kelas komputer. Sekolah juga canggih,” kata V Nathan yang mempunyai anak di tahun 1 di sekolah tersebut.

Seorang bapa, yang mahu dikenali sebagai Vinodh berkata, sekolah tersebut mempunyai kemudahan sukan terbaik jika dibandingkan dengan SRJK Tamil lain..

Mini stadium bertaraf antarabangsa.

“Sekolah ini berbeza. Ada kelas hoki, ada kelas catur dan bola sepak. Pertandingan bola sepak di sini bertaraf antarabangsa. Mereka ada perlawanan dengan pelajar sekolah dari Sri Lanka, China dan India,” katanya.

Bagi seorang ibu, Rajini, sekolah tersebut mempunyai keunikan tersendiri dengan struktur bangunan yang menarik dan banyak aktiviti yang dijalankan, termasuk pertandingan membaca.

SJKT Bandar Sri Sendayan yang dulunya dikenali sebagai SJKT Ladang Bukit Bertam dibina oleh syarikat hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad dengan nilai RM17 juta, termasuk kos tanah.

Tanah tapak sekolah tersebut disediakan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamad Hasan sebagai menteri besar Negeri Sembilan pada waktu itu, sementara pembukaan sekolah dirasmikan oleh bekas perdana menteri, Najib Razak pada Februari 2018.