Sabah, Sarawak tidak lulus pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan sekarang, kata Abang Johari

KM Sarawak Abang Johari Openg berkata, Jawatankuasa Kabinet mengenai perjanjian Malaysia 1963 dalam mesyuaratnya tidak pernah membincangkan susunan kata sebenar pindaan tersebut. (Gambar Bernama)

BINTANGOR: Tiada kelulusan diberikan oleh ketua menteri Sabah dan Sarawak berhubung pindaan perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dalam bentuknya sekarang, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kabinet mengenai perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam mesyuaratnya tidak pernah membincangkan susunan kata sebenar pindaan tersebut.

“Biar saya menyatakan, walaupun kami meluluskan hasrat untuk meminda Perkara 1 (2) pada prinsipnya, tiada kelulusan diberikan berhubung pindaan dalam bentuknya sekarang. Ini kerana jawatankuasa itu tidak pernah membincangkan kandungan dan susunan kata sebenar pindaan tersebut,” kata beliau.

Abang Johari berkata, beliau telah menekankan pada mesyuarat jawatankuasa pemandu yang pertama bahawa perbincangan dan keputusan mestilah mengikut bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan upacara pecah tanah projek Jalan Pesisir Pasi (Sarikei)-Tanjung Manis (Mukah) dan Jambatan Batang Rajang di Persimpangan Km 3 Jalan Pasi/Selidap B di sini, hari ini.

Rang undang-undang untuk meminda Perkara 1 (2) bagi mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas mendapat bantahan daripada aahli Parlimen pembangkang, termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah di negeri ini.

Ahli Parlimen berkenaan mahu rang undang-undang pindaan itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk kajian menyeluruh.