‘Semua atau hampir semua’ janji 100 hari PH telah ditunaikan, kata Kula

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

SEREMBAN: Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran malam tadi mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah memenuhi kesemua atau hampir semua 10 janji pilihan raya yang dibuatnya untuk tempoh 100 hari pentadbiran pakatan politik itu.

Ini katanya, merupakan bukti bahawa PH mentadbir negara ini dengan baik.

Kula berkata, kritikan yang diterima daripada pelbagai pihak membantu PH memastikan janjinya ditunaikan, sekali gus mendakwa keadaan sedemikian tidak wujud semasa pemerintahan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Adakah anda masih ingat manifesto BN?”, soal beliau ketika berceramah di Kampung Sawah di sini.

“Dari 1957 hingga sekarang, telah ada lebih kurang 13 manifesto (BN), tetapi adakah orang ramai ingat sama ada ia telah diunaikan? Tidak. Banyak perkara yang dijanjikan tetapi ia tidak ditunaikan.

“Paling penting bagi PH ialah semua janji mesti dipenuhi. Kami hanya perlukan sedikit masa lagi.

“Tetapi janji yang kami buat untuk 100 hari pertama, kebanyakannya atau kesemuanya telah ditunaikan.”

Kula berkata, kerajaan PH mahu menunaikan kesemua 60 janji yang dibuat menjelang tamat tempoh 5 tahun pentadbirannya.

“Inilah Pakatan Harapan. Inilah kerajaan baru. Wujud harapan baru, ada udara segar dalam kerajaan. Percayalah,” katanya kepada kira-kira 250 hadirin yang terdiri daripada kebanyakannya pengundi Cina di situ.

Pemerhati bagaimanapun berkata, PH belum menunaikan semua 10 janji pilihan raya yang dikatakan akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari selepas ia berkuasa.

Mereka berkata, sesetengah janji tersebut seperti penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah ditunaikan, tetapi janji menghapuskan tol lebuh raya atau menambah bayaran royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak misalnya, belum dipenuhi.

Satu lagi janji yang belum dipenuhi ialah berkaitan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) hanya selepas peminjam mendapat gaji RM4,000 sebulan. Langkah itu telah dimulakan, tetapi kemudiannya ditarik balik sementara menunggu hasil satu kajian semula.

Kula kemudiannya memberitahu FMT bahawa 10 janji PH untuk tempoh 100 hari selepas mengambil alih kuasa telah ditunaikan “lebih kurang dalam tempoh yang dijanjikan”.

“Malah dalam isu janji gaji minimum, walaupun kami tidak dapat melakukannya dalam tempoh 100 hari, tetapi ia ditunaikan dalam kira-kira 110 hari. Kami ada 5 tahun. Perkara lain akan dipenuhi dalam tempohnya,” kata beliau.

Kula hadir bagi membantu kempen calon PH, Dr S Streram dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berlangsung. Pemimpin tertinggi PH yang turut hadir termasuklah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin PKR, Dr Lee Boon Chye.

PRK yang ditetapkan pada 13 April depan itu menyaksikan persaingan 4 penjuru antara Steram dengan calon BN, Mohamad Hasan serta 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.