Serah balik kerajaan kepada BN, Najib sindir PH

Najib Razak berkata BN bersungguh-sungguh mengumpulkan aset, namun PH menjualnya untuk membayar hutang negara.

SEREMBAN: Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak pandai mengurus hutang negara, lebih baik serahkan semula pentadbiran kepada Barisan Nasional, sindir Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata semasa pemerintahannya kerajaan hanya berhutang RM686 bilion, bagaimanapun hutang negara terus melonjak kepada RM777.1 bilion dalam tempoh 11 bulan pemerintahan PH.

“Mereka nak salahkan kerajaan BN sahaja, saya nak beritahu mereka kalau tak reti (tadbir) serahkan saja pada BN,” katanya dalam ceramah umum ‘Bossku’ bersama masyarakat India di Bandar Ekar, Rantau.

Katanya, semasa memegang tampuk pemerintahan, BN bersungguh-sungguh mengumpulkan aset, namun berbeza dengan PH yang rela menjual aset negara bagi membayar hutang negara.

“Di mana letaknya maruah Malaysia, jual kepada orang lain buat apa, zaman saya kita usaha bersungguh, kita kumpul, kita cari aset, kita tambah, supaya generasi kita, anak muda kita yang keluar dari universiti akan dapat peluang pekerjaan dipersada antarabangasa kerana ini pelaburan Malaysia.

“Kalau tidak macam mana nak cari kerja, sebab itu hari ini banyak pengangguran bila keluar universiti,” katanya di depan lebih 500 kaum India dan pengundi BN.

Najib antaranya menyebut mengenai penjualan kepentingan oleh Khazanah Nasional Berhad sebanyak 16% dalam penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan IHH Healthcare Berhad.

Jualan itu bernilai RM8.42 bilion diberikan kepada syarikat Jepun, Mitsui & Co. Ltd.

IHH merupakan kumpulan hospital swasta terbesar di Asia yang mengendalikan 50 hospital dengan lebih 12,000 katil di 9 negara termasuk Singapura, Malaysia, Turki dan India.

Semalam merupakan hari ke-2 Najib berkempen di Rantau bagi membantu calon BN mempertahankan kerusi tradisi Umno itu.

Menerusi pentas ceramah yang berada 100 m dari bilik gerakan utama PH, Najib dilihat bersemangat menyerang dan mendedahkan kelemahan kerajaan.