Statut Rom: Pembangkang gesa tindakan tegas terhadap menteri luar, peguam negara

Ketua pembangkang Parlimen, Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tegas harus diambil ke atas peguam negara kerana gagal memberi nasihat kepada kerajaan tentang kesan negatif Statut Rom.

PETALING JAYA: Ketua pembangkang mendesak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung isu Statut Rom.

Ismail Sabri Yaakob berkata, Saifuddin jelas gagal dan tidak memberikan maklumat yang benar kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sewaktu memaklumkan atau mengadap Agong berhubung langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menandatangani Statut Rom.

“Tindakan tegas juga harus diambil ke atas Peguam Negara, Tommy Thomas kerana gagal memberikan nasihat kepada kerajaan tentang kesan negatif Statut Rom kepada Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya kepada FMT.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada meratifikasi statut berkenaan berikutan kritikan pelbagai pihak, termasuk istana Johor.

Dr Mahathir berkata, Kabinet membuat keputusan menarik diri daripada triti kontroversi itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, bukan kerana ia memudaratkan negara atau tunduk kepada desakan pelbagai pihak.

Saifuddin juga menjelaskan semalam, bahawa jemaah menteri membuat keputusan mengikut prosedur yang betul dalam proses meratifikasi Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau berkata, jemaah menteri juga membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam menandatangani perjanjian antarabangsa.

Dalam pada itu, Ismail menggesa Dr Mahathir atau Saifuddin mengumumkan keputusan penarikan diri daripada ratifikasi Statut Rom di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Dewan Rakyat harus dimaklumkan tentang jangka masa penarikan diri tersebut.

“Menteri luar (Saifuddin) seharusnya memohon maaf kepada seluruh Dewan Rakyat kerana mengelirukan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail menzahirkan terima kasih beliau kepada semua pihak, termasuk pembangkang di Parlimen, parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) kerana berjaya menekan kerajaan supaya menarik balik penyertaan Malaysia sebagai ahli Statut Rom.

“Saya cukup yakin dan percaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom merupakan agenda tersembunyi untuk menghapuskan hak dan keistimewaan orang Melayu/Bumiputera dan Islam serta menggugat kedudukan Raja-raja Melayu.

“Apakah ini langkah awal negara menuju kepada agenda kesamarataan dan sebuah negara republik?” soalnya.

Pada 4 April lepas, Ismail mengemukakan usul mendesak kerajaan menarik balik perakuan Statut Rom dengan berkata, perjanjian antarabangsa itu sepatutnya dibahaskan di Parlimen dan dibincangkan oleh Majlis Raja-raja.

Ismail berkata, speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof akan memutuskan sama ada usul itu dibahas atau sebaliknya pada 8 April ini.