Aktivis: Guna daun ganti plastik bungkus buah, sayur

Sayuran dan buahan dibungkus menggunakan daun di pasar raya di Chiang Mai. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kumpulan pencinta alam menggesa pasar raya menggunakan daun bagi membungkus sayuran berbanding menggunakan plastik.

Ketua Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Andrew Sebastian berkata, rakyat Malaysia patut mencontohi trend masyarakat dunia yang menggunakan bungkusan jenis mesra alam.

“Kita patut memikirkan undang-undang, garis panduan dan insentif bagi memastikan pasar dan kompleks membeli-belah kita menggunakan bungkusan seperti itu.

“Kempen anti-beg platik kita belum mencapai momentum. Kita masih menggunakan beg plastik,” katanya.

Pasar raya luar negara dilaporkan menggunakan pembungkusan mesra alam, di mana pasar raya di Chiangmai, Thailand menggunakan daun pisang dan daun buluh untuk membungkus buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sebastian berkata Malaysia dan Thailand berkongsi cuaca tropika yang sama di mana pokok berdaun tumbuh dengan mudah, yang boleh menjadi baja kompos apabila dibuang, tidak seperti beg plastik.

Gambar Facebook.

Beliau juga mencadangkan caj beg plastik dinaikkan dari 20 sen kepada RM1 untuk tidak menggalakkan penggunaannya.

Seorang lagi aktivis, Irshad Mobarak, yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam pemuliharaan alam sekitar berkata, 50 tahun lalu daun mahang digunakan untuk membungkus makanan.

“Peniaga menggunakan daun mahang dan daun pisang untuk membungkus buah-buahan dan sayur-sayuran. Kita harus memulakannya semula,” katanya, sambil menyatakan penggunaan daun menyediakan peluang kerja dan perniagaan kepada rakyat tempatan.

Bagaimanapun, pakar alam semula jadi, Anthony Tan berkata, kajian perlu dibuat untuk menentukan sama ada daun cukup untuk digunakan bagi menggantikan plastik.

“Atau adakah ada penyelesaian lain untuk rakyat Malaysia memelihara alam semula jadi?” katanya.

Katanya, pengguna boleh juga digalakkan membawa bekas sendiri ketika membeli sayuran dan buahan.

Kerajaan mengharamkan penyedut minuman plastik di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Pengguna juga dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik pada hari-hari tertentu dalam seminggu.