Anwar: Putrajaya tarik diri Statut Rom elak bercanggah dengan Raja

Anwar Ibrahim berkata taksiran Putrajaya mengenai Statut Rom sebagaimana yang dijelaskan peguam negara membawa pengertian ICC tidak akan menghakis kuasa Raja-Raja Melayu.

SEREMBAN: Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata keputusan Putrajaya menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi mengelakkan percanggahan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, taksiran Putrajaya mengenai statut itu sebagaimana yang dijelaskan peguam negara membawa pengertian ICC tidak akan menghakis kuasa Raja-Raja Melayu.

“Kita tafsir ikut peguam negara, tidak jejas kuasa raja-raja.

“Tapi Majlis Raja-Raja bersidang, bimbang kuasa terjejas.

“Dr Mahathir cakap dengan saya semalam. Bila dapat pendapat macam itu, beliau tak mahu panjangkan isu, beliau tarik balik,” kata Anwar ketika berceramah di Taman Kelab Tunku, Rantau, malam tadi.

Anwar berkata langkah itu merupakan tanda hormat kepada Majlis Raja-Raja Melayu, walaupun mereka melihat ICC dengan cara berbeza.

“Kerana dalam kerajaan kita ada Institusi Raja-Raja kita hormat. Kerajaan sudah buat keputusan, sanggup tolak untuk meredakan keadaan dan untuk tidak mengelirukan.

“Takut ada orang beranggapan kita berbeza pendapat dengan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Rabu lalu Mahathir mengumumkan penarikan Malaysia keluar daripada menyertai Statut Rom.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan yang dicipta oleh individu tertentu dan penarikan itu dibuat bukan kerana perjanjian tersebut membahayakan negara.

Mahathir turut mendakwa terdapat percubaan untuk melibatkan raja-raja menentang kerajaan serta untuk memburuk-burukkan kerajaan PH dan diri beliau sendiri selaku perdana menteri, menggunakan isu Statut Rom dengan mendakwa kerajaan menyerahkan semua kuasa kepada pihak asing.