Bangkit isu RM10 juta libatkan Tok Mat hanya serangan psikologi PH, kata Hishammuddin

Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata, serangan isu RM10 juta terhadap Mohamad tidak memberi kesan ke atas kempen BN di Rantau.

SEREMBAN: Serangan kempen Pakatan Harapan (PH) berhubung dakwaan skandal RM10 melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan hanyalah serangan psikologi bertujuan mengalahkan beliau dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berjalan, kata Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga ahli Parlimen Semberong berkata, serangan itu tidak memberi kesan kepada BN kerana akhirnya yang akan menentukan kemenangan Mohamad atau sebaliknya adalah pengundi.

“(Serangan) tidak memberi kesan. Saya tengok rakyat sedar bahawa sikap PH tidak berubah, masih lagi perangai pembangkang. Mereka sudah tadbir negara, tapi masih menyalahkan kerajaan lepas. Cukup-cukuplah, dah 10 bulan mereka tadbir negara.

“Apa yang mereka cakap itu psikologi politik (PH). Yang menentukan kemenangan atau kekalahan BN ialah pengundi. Orang Rantau tidak mungkin terikut-ikut dengan sentimen politik kebencian, pecah belah (PH),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan “walkabout” di Taman Sri Ramai di sini hari ini.

Terdahulu Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar membangkitkan kembali isu skandal RM10 juta lebih sedekad lalu yang didakwa melibatkan Mohamad.

Dalam ceramahnya malam tadi di Taman Kelab Tunku, dekat sini, Zulkefly turut mempersoalkan kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengambil tindakan terhadap Mohamad mengenai dakwaan pemindahan wang ke luar negara.

Zulkefly dipercayai merujuk kes pada 2008 yang menyaksikan Mohamad dikatakan melanggar undang-undang perbankan dengan memindahkan wang sebanyak RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Pejabat Peguam Negara (AGC) ketika itu tidak mengambil tindakan terhadap Mohamad kerana penyiasatan menunjukkan bekas menteri besar itu tidak bersalah.

Perkara itu diumumkan Menteri Undang-Undang, Nancy Shukri yang memberitahu bahawa siasatan peguam negara menunjukkan wang itu bukan hasil rasuah.

“AGC telah meneliti butiran penyiasatan itu. RM10 juta itu bukan hasil rasuah.

“AGC berpendapat lebih sesuai tindakan diambil terhadap pengurup wang itu,” kata Nancy memetik laporan media ketika memberi jawapan di Parlimen pada 2013.

Mohamad hari ini turut menafikan perkara itu dengan berkata, siasatan telah dibuat oleh SPRM dan beliau dibuktikan tidak bersalah.

Biar rakyat tentu siapa lebih baik antara Anwar dengan Najib

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa Presiden PKR, Anwar Ibrahim adalah lebih baik berbanding bekas perdana menteri Najib Razak, Hishammuddin berkata, hanya rakyat yang layak menilai perkara itu.

“Itu pandangan Tun Dr Mahathir, tapi akhirnya yang menentukannya adalah rakyat. Paling penting sekarang bukan siapa yang bagus (antara Anwar dengan Najib), tetapi faktanya dia (Dr Mahathir) perdana menteri kita.

“Jadi biarlah dia jalankan tugas sebagai perdana menteri dan memimpin negara kita sehingga rakyat menentukan perdana menteri baru,” katanya