Biar polis siasat pelaku kain rentang provokasi, kata Anwar

Sebelum ini tular kain rentang provokasi terhadap calon PH, S Streram yang dipasang di sekitar Rantau.

SEREMBAN: Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tiada sesiapa terkecuali daripada disiasat berhubung kain rentang provokasi, meskipun individu yang didakwa itu adalah ahli parti sendiri.

“Biar polis ambil tindakan. Saya tidak tahu, kalau betul, tangkaplah.

“Sesiapa pun tak kiralah,” kata Anwar kepada pemberita selepas majlis santai adat di Rantau, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan mengatakan orang kanan calon Pakatan Harapan, Dr S Streram sebagai pelaku yang menggantung kain rentang provokasi yang tular beberapa hari lalu.

Terdahulu, calon Barisan Nasional, Mohamad Hassan mendakwa individu yang dekat dengan Streram sebagai pihak yang membuat provokasi melalui kain rentang tersebut.

Tambah Anwar, semua pihak yang didakwa membuat kesalahan patut disiasat, termasuk Mohamad yang didakwa memindahkan dana RM10 juta ke London.

“Maknanya, kalau sesiapa pun yang bersalah termasuk pemimpin-pemimpin kita, perlu diambil tindakan.

“Laporan yang kata Tok Mat hantar RM10 juta ke London, sila siasat,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar membangkit kembali skandal rasuah RM10 juta melibatkan Mohamad, lebih sedekad lalu.

Zulkefly mempersoalkan mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengambil tindakan terhadap Mohamad yang didakwa terlibat dalam pemindahan duit melalui pengurup wang.

Zulkefly merujuk kes pada 2008 di mana Mohamad didakwa melanggar undang-undang perbankan dengan memindahkan RM10 juta ke London melalui pengurup wang.