Bomba terus cari peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf hingga ditemui

berkata, kehilangan Mohammad Ashraf berkemungkinan seperti kes kehilangan 7 kanak-kanak Orang Asli di Gua Musang 4 tahun lalu yang ditemui dalam jarak 500 meter dari lokasi mereka hilang. (Gambar Bernama)

BACHOK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu, selagi tidak menemukan mangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Soiman Jahid berkata, pencarian dalam skala kecil diteruskan membabitkan radius 1 km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Berdasarkan pengalaman kita, terdapat 2 kemungkinan berlaku terhadap Mohammad Ashraf, sama ada tergelincir jatuh di kawasan curam sehingga berada di tempat tersembunyi atau tersesat sehingga mengalami masalah kesihatan serta tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Pembukaan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan kali Ke-29 di sini, hari ini.

Perkhemahan selama 5 hari bermula hari ini membabitkan 704 orang kadet daripada 16 kontinjen dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, Soiman yakin mangsa masih berada di lokasi berdekatan, tetapi lokasinya belum dikenal pasti.

Beliau berkata, kehilangan Mohammad Ashraf berkemungkinan seperti kes kehilangan 7 kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang 4 tahun lalu apabila mangsa ditemukan dalam jarak 500 meter dari lokasi mereka hilang.